Liverpool tambah derita Manchester City
GERGASI Liga Perdana Inggeris, Liverpool menerusi persembahan memukau apabila menewaskan penyandang juara Manchester City, 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Anfield.
Kemenangan ke-11 selepas mengharungi 13 perlawanan membolehkan pendahulu liga itu melebarkan jurang kepada sembilan mata mengatasi naib juara musim lalu, Arsenal (25 mata).
Dua gol setiap babak yang dijelmakan Cody Gakpo (minit ke-12) dan penalti Mohamed Salah (m-78) juga melebarkan kekalahan Manchester City kendalian Pep Guardiola kepada tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Sebagai rekod, Manchester City juga merupakan juara Liga Perdana Inggeris berturut-turut selama empat tahun sebelum ini.
Sementara itu, Salah yang di tengah-tengah spekulasi pembaharuan kontraknya berkata: “Penyokong-penyokong berada di belakang Liverpool sejak minit pertama, dan saya gembira kami berjaya merealisasikan kemenangan dalam perlawanan ini.
“Malah, saya juga menikmati setiap minit di sini. Saya tidak mengambil mudah kerana sentiasa istimewa untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan di Anfield.”
Liverpool kendalian Arne Slot akan berkunjung ke Stadium St James's Park berdepan Newcastle United manakala Manchester City pula menanti Nottingham Forest di Stadium Etihad pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!