Empat kes baharu disyaki Covid-19 direkod di Sarawak
KUCHING - Empat kes baharu disyaki koronavirus (Covid-19) direkodkan di Sarawak hari ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dua daripada pesakit dalam siasatan (PUI) itu berada di Hospital Miri dan masing-masing seorang di Hospital Sibu dan Hospital Umum Sarawak di Kuching.
"Dengan kes terbaru ini, Sarawak mencatatkan jumlah kumulatif 80 kes PUI yang dilapor antara 10 Jan sehingga hari ini dengan majoriti 59 adalah rakyat Malaysia, 18 warga China dan masing-masing seorang dari Thailand, Indonesia dan Kanada," menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, 64 daripada 80 kes PUI yang dilapor disahkan negatif daripada jangkitan Covid-19 dan hanya 16 kes sedang menunggu keputusan ujian makmal.
Sehingga tengah hari semalam, Jabatan Kesihatan Sarawak telah menyaring lebih 5,000 pelawat yang melepasi lapangan terbang serta yang masuk atau keluar menerusi jalan darat, dan laut di negeri ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!