Isu keciciran pembelajaran, auto gate di pintu masuk negara tumpuan sidang Parlimen hari ini
KUALA LUMPUR - Isu keciciran pembelajaran, pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan perkhidmatan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk negara antara tumpuan perbincangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) meminta Menteri Pendidikan menyatakan status semasa pelaksanaan Intervensi Kurikulum Murid Tahap Satu bagi menangani isu keciciran pembelajaran, pada sesi soal jawab.
Beliau juga ingin tahu berhubung impak positif penjajaran semula standard pembelajaran dan kandungan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik terhadap bebanan guru di sekolah rendah dan menengah.
Dalam sesi sama, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi tempoh 2015 hingga Ogos lepas.
Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan persoalan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung usaha menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk negara termasuk lapangan terbang dan pelabuhan untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan sama ada Malaysia akan berbincang dengan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian Sungai Johor 1962 yang membenarkan negara jiran itu menerima 250 juta gelen air dari Johor hingga tahun 2061 pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Selepas sesi itu, tiga rang undang-undang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.
Persidangan Dewan Rakyat seterusnya menyambung semula sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember. - Bernama
__________________________________________________________________
Perangi jenayah siber, Kerajaan Madani bentang dua RUU di Parlimen hari ini
KUALA LUMPUR - Tekad dan usaha Kerajaan Madani dalam memerangi jenayah siber untuk menjamin keselamatan dalam talian semakin serius dengan pembentangan dua rang undang-undang berkaitan, di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dua rang undang-undang tersebut ialah Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (Akta 588) dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, dijadual membentangkan kedua-dua rang undang-undang ini bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 11.30 pagi ini, setelah selesai sesi soal jawab lisan.
Pindaan terhadap kedua-dua akta ini merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk memastikan ekosistem digital di negara ini bukan sahaja berkembang pesat, tetapi juga lebih selamat dan bebas daripada ancaman jenayah siber.
Sebelum ini, Fahmi menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dalam talian, sekali gus menjadikan Internet sebagai platform yang lebih selamat untuk pengguna.
Beliau berkata, pindaan Akta 588 yang telah berkuat kuasa selama 26 tahun itu akan meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bagi mengelakkannya disalah guna.
Selain itu, pindaan tersebut turut menyentuh aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi tempoh 2022 sehingga 1 November lepas, jumlah pemohonan menurunkan kandungan lucah sebanyak 2,089, manakala kandungan palsu mencecah 24,934 dan kandungan unsur jelik sebanyak 21,147 permohonan.
Dalam tempoh sama, jumlah permohonan menurunkan kandungan dengan kesalahan melibatkan perjudian mencecah 169,769 sementara kesalahan penipuan (scam) termasuk akaun palsu dan penyamaran sebanyak 61,469 permohonan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!