Padah bergaduh, empat lelaki ditahan polis
JOHOR BAHRU - Seramai empat lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pergaduhan di laluan pejalan kaki berhampiran Sungai Segget, Jalan Wong Ah Fook di sini, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kesemua suspek berusia 35 hingga 46 tahun itu ditahan di lokasi dipercayai tempat melepak kesemua suspek.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan seorang suspek yang dalam keadaan mabuk telah memulakan pertengkaran mulut dengan tiga suspek yang lain.
“Pertengkaran berkenaan kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan fizikal yang menyebabkan dua daripada mereka mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis yang sedang menjalankan rondaan telah berjaya menahan empat suspek berkenaan selain turut merampas sebilah pisau panjang yang dianggarkan sepanjang 39.5 cm di lokasi,” katanya.
Menurutnya, semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek, katanya, ditahan reman selama empat hari mulai Ahad hingga Rabu bagi membantu siasatan.
Rabu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata atau benda berbahaya.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan – Bergaduh di tempat awam dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara yang boleh sampai enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!