Banjir: Calon SPM kekal positif meskipun persediaan terbatas
PASIR MAS - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mangsa banjir Rantau Panjang tetap positif memulakan hari pertama Ujian Bertutur Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 2 di sini pada Isnin.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kesemua 25 calon yang menumpang di asrama SMK Sultan Ibrahim 1 itu tiba di sekolah berkenaan dengan menaiki bas pada jam 7.30 pagi.
Terdapat juga calon yang tiba lebih awal pada jam 7 pagi dengan menggunakan pengangkutan sendiri kerana menumpang di rumah saudara akibat kediaman mereka yang banjir.
Pelajar, Nur Asyikin Mohd Zafri, 17, berkata, persediaan SPM terbatas kerana sudah lima hari terjejas banjir dan dalam berkeadaan tidak ada elektrik menyebabkan peranti pintar kehabisan bateri untuk dia mengulang kaji.
Katanya, pergerakan mereka juga sangat terbatas selain cabaran dihadapi dalam perjalanan untuk datang ke dewan peperiksaan di sekolah tumpang berkenaan.
“Dari rumah nak ke tempat askar ambil kami di SK Gual Tinggi semalam pun perlu dayung perahu setengah jam dari rumah berbanding dengan motosikal hanya lima hingga 10 minit.
“Hari ini pula perasaan bercampur baur tetapi walau macam mana sekali pun kami harus kawal perasaan ini dan terus positif kerana perlu duduki peperiksaan,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Seorang lagi pelajar, Khairunnisa Kamarzaman, 17, berkata, banjir di rumah dua tingkat milik keluarganya di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang setinggi tiga meter sejak Rabu minggu lalu.
Dia berpindah dengan bantuan tentera ke rumah saudara berhampiran SMK Sultan Ibrahim 2 pada Ahad bagi membolehkannya menduduki peperiksaan terbabit.
“Tiap-tiap tahun, kampung saya memang dilanda banjir dan saya pun sudah bersiap lebih awal dengan menyelamatkan uniform sekolah serta buku-buku ke tingkat atas rumah.
“Kalau boleh tak nak duduki peperiksaan waktu ini sebab terlalu penat mengemas dan mengangkat barang elak kena banjir namun kena harungi juga,” katanya.
Anak sulung, Nur Samsina Suri Saiful Bahari, 17, pula berkata, dia memanfaatkan waktu banjir dengan mengulang kaji bersama rakan-rakan sebaya yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2.
“Ulang kaji pun mana-mana yang sudah ada dalam pengetahuan.
“Sudah lima hari tinggal di PPS, sedia atau tak bersedia memang nak kena tempuh peperiksaan ini demi masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!