RISDA bantu usahawan kejar impian
Bukan mudah bergelar seorang usahawan yang berjaya dalam keadaan ekonomi semakin mencabar.
Bagaimanapun, tiga peserta yang memenangi Program RISDA Groom Big Challenge (RGBC) 2024 telah membuktikan mereka berjaya menempuhi pelbagai cabaran dalam perniagaan mereka.
Namun itu bukanlah penghalang untuk usahawan-usahawan di bawah bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengejar impian mereka.
Malah peluang Mariam@Sharifah Mariam Sh. Along, 45 bersama suami Tengku Iskandar Tengku Salim, 45, Kee Rozalin Mohd Hairum, 41 dan Norafizaa Yusop, 37 menyertai Program RGBC 2024 dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Mereka menyertai program tersebut bersama 174 peserta lain sebelum diangkat sebagai tiga pemenang utama dan kejayaan itu merupakan batu loncatan kepada mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan.
Mereka juga menerima bantuan Program Groom Big bernilai RM50,000 yang mana masing- masing turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM7,000, RM5,000 dan RM3,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib yang diadakan di Pusat Latihan RISDA (RISTEC), di Port Dickson, pada Jumaat.
Mariam dan suaminya yang berasal dari Terengganu menganggap kemenangan mereka dalam program berkenaan dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya. Bercerita mengenai perjalanannya sebagai usahawan, ibu kepada empat anak itu berkata, dia bermula dengan membuka restoran yang menjual nasi kukus.
“Kami bermula dengan kosong seperti tiada apa-apa ilmu perniagaan yang khusus dan banyak cabaran perlu ditempuhi terutama apabila negara berdepan Covid-19.
“Alhamdulillah, selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan kami mula menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit dan paling ketara pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Peningkatan itu kata Mariam, turut didorong oleh RISDA yang sentiasa memberi galakan terutama selepas dia menyertai program RGBC.
Jelasnya, peserta bukan sekadar diberi kursus dan latihan, tetapi turut diambil berat soal perkembangan perniagaan.
“Jadi, itu membuatkan kami nak berusaha juga kejar sasaran yang ditetapkan dan Alhamdulillah kami kinimampu memperoleh purata jualan bulanan semasa sehingga lebih RM700,000,” katanya yang kini mempunyai lima cawangan restoran yang empat daripadanya di Lembah Klang.
Beri lebih keyakinan
Sementara itu, Kee Rozalin yang meng- usahakan perniagaan jahitan langsir tidak menyangka dipilih sebagai pemenang kedua kerana sedar berdepan saingan sengit daripada peserta lain.
Dia yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, pada awalnya hanya mengambil upah menjahit secara kecil-kecilan dari rumah, namun memberanikan diri menyewa kedai selepas mendapat banyak tempahan.
“Masa mula-mula buka kedai itu saya akui hampir berputus asa kerana tak sangka banyak komitmen perlu ditanggung.
“Selepas saya menceburi program RGBC dan berada dalam persekitaran yang positif, ia memberikan saya lebih keyakinan untuk lebih berusaha lagi,” katanya.
Hasilnya anak pekebun kecil RISDA itu kini mampu memperoleh purata jualan mencecah RM160,000 berbanding sebelumnya iaitu RM55,000.
Ujarnya lagi, dia kini mempunyai dua cawangan kedai dengan pekerja seramai 14 orang.
“Alhamdulillah ini adalah rezeki suami dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan sehingga saya mampu berada di tahap ini sekarang,” katanya.
Sementara itu, Norafizaa, pemenang tempat ketiga, meluahkan rasa syukur kerana menjadi sebahagian daripada komuniti RISDA yang banyak membantunya menjadi usahawan perniagaan sambal kentang.
“RISDA merupakan agensi pertama yang membantu perjalanan bisnes saya dan rasanya jika tanpa RISDA, saya tak mampu berada pada tahap ini sekarang.
“Sebelum ini saya buat bisnes di rumah saja bersama ibu dan sekarang saya sudah mampu mempunyai bengkel sendiri dengan menggajikan empat pekerja,” katanya.
Dia yang sebelum ini bekerja makan gaji di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, bermodalkan RM800 dia memulakan bisnes tersebut pada tahun 2022 selepas memilih berhenti kerja untuk pulang ke kampung bagi menjaga kedua ibu bapanya.
Katanya, ia bukan satu keputusan mudah ditambah pula ketika itu dia memperoleh pendapatan yang agak baik.
“Alhamdulillah bila saya sertai RGBC, ia memberi perubahan 360 darjah kepada kehidupan dan saya boleh mengubah nasib keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Manndzri mengumumkan 27 lagi peserta akhir RGBC turut menerima bantuan Groom Big RM50,000.
Beliau turut mencadangkan kesemua mereka dihantar mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) E-commerce di negara China pada tahun hadapan dengan kos pembelajaran ditaja oleh pihak industri di negara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!