Tindakan halang pemimpin sambut PM tak sepatutnya berlaku - Mohd Hasbie

Mohd Hasbie Muda
Mohd Hasbie Muda
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Mohd Hasbie Muda mendakwa tindakan menghalang pemimpin parti Kerajaan Perpaduan di Terengganu bagi menyambut kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Sultan Mahmud tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, ia secara tidak langsung memberi imej buruk kepada Anwar sebagai Perdana Menteri yang melawat ke negeri ini kerana tiada pemimpin daripada Kerajaan Perpaduan yang menyambut kedatangan beliau.

Beliau berkata, situasi itu berbeza ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat Terengganu pada Sabtu lalu di mana ramai pimpinan Kerajaan Perpaduan menyambut dan mengiringi beliau.

"Secara umumnya memberi imej buruk kepada Perdana Menteri kerana kepimpinan daripada Kerajaan Perpaduan tak ada (sambut kedatangan Perdana Menteri).

"Saya sebagai Pengerusi PH Terengganu bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat hendak sambut Perdana Menteri turun dan kami bukan semata-semata datang sebagai pimpinan politik.

"Saya merupakan Ahli Dewan Negara manakala Rozi pula sebagai Pengerusi Ketengah Jaya tetapi malangnya tidak dapat masuk ke ruangan untuk bertemu Perdana Menteri. Jadi perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Hasbie mendakwa, beliau dan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan lain dihalang untuk bertemu dengan Perdana Menteri atas arahan pihak tertentu.

"Kami memang dihalang. Pegawai keselamatan di situ menyatakan arahan daripada pihak atasan iaitu saya beranggapan ia merupakan arahan daripada kerajaan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap kerajaan negeri tidak mengamalkan politik sebegini memandangkan dalam keadaan menghadapi bencana seperti ini sepatutnya perkara itu tidak berlaku dan perlu bekerjasama antara satu sama lain," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Hasbie mendakwa, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) juga tidak diberi peranan untuk membantu mangsa banjir.

"Banjir ini di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) iaitu kerajaan Persekutuan. Disebabkan jawatankuasa pengurusan banjir daerah itu di bawah pejabat daerah maka peranan tersebut diberi kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Jadi apa guna sekiranya kerajaan Persekutuan melantik JPKKP namun tidak diberi peranan (bantu mangsa banjir).

"Saya berharap kerajaan negeri perlu bekerjasama di semua peringkat bukan semata-mata nak bantuan dan duit daripada kerajaan Persekutuan tetapi peranan wakil kita di peringkat kampung itu dinafikan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!