SPM di negeri terjejas banjir lancar
PASIR MAS - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah berjalan lancar pada hari pertama.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penugasan penting pemindahan calon SPM terjejas banjir selesai menerusi Op Payung pada Ahad.
“Kementerian hari ini memasuki fasa kedua iaitu pembugaran emosi, peneguhan dan memastikan psikososial mereka dipersiapkan untuk menghadapi peperiksaan,” katanya di sini pada Isnin.
1,734 pelajar terjejas banjir di Terengganu duduki SPM
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, peperiksaan SPM 2024 bagi calon terjejas banjir tetap lancar walaupun sebahagian daripadanya terpaksa dipindahkan akibat bencana itu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, seramai 1,734 calon yang terjejas berjaya menduduki peperiksaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan bermula Isnin hingga Khamis.
Menurutnya, semua pelajar berkenaan telah melalui pelan bencana banjir, Ops Payung bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan tersebut berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"JPNT telah mengaktifkan Ops Payung bagi memastikan peperiksaan SPM yang bermula pada hari ini (Isnin) berjalan dengan lancar.
"Setakat ini kita mengenal pasti seramai 1,734 calon SPM dari 20 buah sekolah di enam daerah terjejas akibat bencana banjir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 1,155 calon terjejas banjir telah dipindahkan ke lapan buah asrama manakala 261 calon yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) telah pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir yang beransur pulih.
"Kita telah menggerakkan perancangan terperinci dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran pengangkutan kepasa calon terjejas banjir yang diselia oleh Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.
"Semua calon ini dibawa ke pusat peperiksaan alternatif oleh kenderaan agensi kerajaan seperti Majlis Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, proses penghantaran 261 calon SPM terjejas banjir di Terengganu ke pusat peperiksaan alternatif pada pagi Isnin berjalan lancar.
"Saya telah meninjau proses penghantaran 16 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting ke pusat peperiksaan alternatif awal pagi tadi.
"Terima kasih kepada semua pihak terutama Majlis Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta Pejabat Pendidikan Daerah yang membantu melancarkan urusan penghantaran pelajar-pelajar ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!