Kelab kecil dari Johor ini nombor satu di Asia Tenggara - TMJ
PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan pencapaian Harimau Selatan cukup membanggakan walaupun ada pihak yang melabel JDT bermain dalam liga petani.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor membalas dakwaan di laman X yang mendakwa JDT berjaya mencapai banyak kejayaan hebat kerana bermain dalam liga petani.
Ia selepas baginda berkongsi kenyataan daripada pengendali Manchester City, Pep Guardiola yang berpendapat tidak ada mana-mana pasukan dalam apa juga sukan yang mampu mengekalkan penguasaan untuk tempoh 10 tahun berturut-turut.
Istilah liga petani telah dicipta oleh peminat bola sepak yang menganggap sesebuah liga itu tidak kompetitif.
"Saya suka liga petani ini. Kelab kecil dari Johor ini nombor satu di Asia Tenggara, nombor lima di Asia, mempunyai infrastruktur bola sepak terbaik di Asia, mempunyai akademi kelab bertauliah AFC.
"Akhir sekali, diiktiraf oleh FIFA, AFC dan individu yang berjaya dalam industri bola sepak dunia.
"Pencapaian yang baik untuk kelab dari liga petani ini," kata Tunku Ismail di laman X miliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!