'Ulat teksi' pertikai ditahan polis, enggan beri kerjasama
SEPANG - Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex yang disyaki terlibat dalam kegiatan teksi haram bertindak memecut laju semasa ditahan polis di sini.
Penahanan kenderaan itu dilakukan sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi Op Khas Teksi Haram, Khamis lalu.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu dilaksanakan bermula jam 12 tengah hari di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) .
Katanya, pemerhatian telah mengesan seorang lelaki tempatan yang memberi tawaran perkhidmatan kenderaan sewa kepada lima pelancong asing.
"Kesemua warga asing itu kemudian dibawa keluar dari kawasan ketibaan ke kenderaan Hyundai Starex yang dipandu lelaki tempatan.
"Pemandu Hyundai Starex itu telah ditahan di Lebuhraya Extension KLIA kira-kira jam 2 petang. Pemandu terbabit turun dari kenderaannya sebelum mempertikai penahanannya dan enggan beri kerjasama," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, suspek kemudian memandu kenderaannya dan memecut sebelum ditahan semula di Kilometer 8.5 Lebuhraya Extension KLIA bagi siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di pekarangan Balai Ketibaan yang disyaki memainkan peranan memujuk dan mendesak bagi mendapatkan khidmat kenderaan sewa haram.
"Kedua-dua tangkapan berusia 35 dan 49 tahun telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA untuk disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!