MBM gerak misi bantuan banjir menerusi #projectunderwear2.0
SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MYVOC) mengambil inisiatif menggerakkan misi bantuan banjir menerusi #projectunderwear2.0 bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri yang terlibat dengan bencana itu.
Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun berkata, pihaknya menyasarkan bantuan awal sebanyak 3,000 pek untuk diedarkan kepada beberapa buah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan.
Menurutnya, projek tersebut memberi fokus kepada sumbangan berupa pakaian dalam dan tuala wanita, seluar dalam lelaki dan kanak-kanak.
"Kami telah melaksanakan projek sama pada misi banjir 2021 yang digerakkan dengan penglibatan sukarelawan-sukarelawan daripada majlis belia negeri dan daerah.
"Ini merupakan inisiatif awal MBM sebelum bantuan pasca banjir menyusul seperti kerja-kerja pembersihan, bantuan barangan, pakaian dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Hasnul Haniff, MBM juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai dalam menjayakan misi itu.
"Sumbangan anda diperlukan untuk memenuhi keperluan mendesak mangsa-mangsa banjir di PPS seluruh negara.
"Marilah bersama-sama berdoa agar mangsa-mangsa diberikan kesabaran dan membantu saudara-saudara kita yang ditimpa musibah ini," jelasnya.
Sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun Maybank (5640 2540 3782) atas nama Tabung Kemanusiaan Majlis Belia Malaysia serta rujukan ialah Banjir2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!