Nelayan terkejut jumpa bangkai gajah dalam sungai
JERANTUT - Seorang nelayan mendakwa terkejut selepas menemui bangkai seekor gajah liar yang terapung di Sungai Pahang dekat Lubuk Penor, Kampung Besul di sini pada Ahad.
Azman Yusoff, 54, berkata, dia menemui haiwan tersebut ketika menjaring ikan di sungai tersebut kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, dalam jarak kira-kira 50 meter, dia ternampak seakan-akan sebuah batu hitam besar timbul di permukaan sungai.
"Saya agak pelik melihat objek tersebut sedangkan ketika ini air sungai masih belum surut sepenuhnya.
"Saya kemudian merapati objek hitam itu sebelum mendapati ia adalah bangkai gajah yang timbul dan tersangkut dengan kayu balak reput di tengah sungai itu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Penemuan bangkai haiwan liar itu juga tular dan dikongsikan di laman Facebook Skuad Bencana Jerantut.
Ujarnya, beberapa bahagian badan bangkai haiwan liar itu berselut namun keadaan anggota badannya masih lengkap termasuk belalainya ditenggelami air.
"Sepanjang bergelar nelayan sungai sejak empat tahun lalu, ini kali pertama saya jumpa bangkai gajah. Kalau haiwan lain macam lembu, babi sudah banyak kali nampak.
"Memang terkejut juga sebab seperti kita tahu gajah adalah haiwan yang pandai berenang dan mungkin haiwan liar itu lemas air banjir di hulu sungai," jelasnya.
Tambah Azman, tindakan seterusnya dia membantu melepaskan bangkai gajah itu daripada tersangkut dan kemudiannya hanyut ke hilir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!