Jalan lima daerah di Kelantan terjejas teruk akibat banjir
KOTA BHARU - Jalan raya di lima daerah di Kelantan termasuk Tumpat dan Gua Musang dikenal pasti terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda negeri ini beberapa hari lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daerah lain yang turut terlibat ialah Pasir Mas, Tumpat, Machang dan Tanah Merah.
Menurut beliau, sehingga Ahad (semalam), sebanyak 13 jalan Persekutuan dan 14 jalan negeri ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
"Anggaran kos pembaikan bagi keseluruhan jalan di negeri Kelantan yang terjejas akibat bencana banjir sehingga hari ini (Isnin) sebanyak RM22.5 juta," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar Laporan Taklimat Laporan Semasa Banjir Negeri Kelantan ketika sesi lawatan pada Isnin.
Jelas beliau, anggaran kos pembaikan tidak termasuk pembaikan permukaan jalan yang di tenggelami air dan kemungkinan juga akan mengalami kerosakan.
Bagaimanapun kata Ahmad lagi, pihaknya akan usahakan kos melalui Kementerian Kewangan atau Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dengan memohon bajet tambahan akibat bencana ini," katanya.
Ahmad memberitahu, sehingga kini penutupan jalan melibatkan 15 lokasi di Pasir Mas, lima di Tumpat, tiga jalan di Machang dan masing-masing satu di Gua Musang serta tiga di Tanah Merah.
Katanya lagi, bagi jalan Persekutuan terdapat 12 lokasi terjejas termasuk lapan tanah runtuh serta dua bahu jalan runtuh dan dianggarkan kos pembaikan sebanyak RM16 juta.
"JKR yang bertanggungjawab terhadap
penyelenggaraan jalan akan memastikan jalan yang terjejas akibat banjir dibaik pulih dengan sempurna bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!