Kerajaan pertimbang guna imbasan Kod QR di KLIA
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbangkan sistem baharu yang lebih efisien dengan memperkenalkan penggunaan imbasan Kod QR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melancarkan lagi pemeriksaan imigresen untuk pengembara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sistem itu dijangka dapat mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen, pengembara hanya perlu mengimbas Kod QR yang mengandungi maklumat peribadi serta butiran perjalanan mereka.
Menurutnya, penggunaan teknologi tersebut dijangka akan membantu meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk negara terutama pada waktu puncak.
“Penggunaan Kod QR akan diperluaskan ke pintu-pintu masuk utama negara yang bersesuaian, termasuk lapangan terbang antarabangsa yang lain dan pusat pemeriksaan di sempadan darat serta laut.
“Dengan adanya sistem yang lebih bersepadu ini, ia bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan imigresen, tetapi juga akan mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kaunter imigresen,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) tentang langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan Persekutuan untuk menambah baik perkhidmatan di semua pintu masuk ke tanah air untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.
Tambah Shamsul Anuar, pada masa kini, semua Lapangan Terbang Antarabangsa di Malaysia telah dilengkapkan dengan mesin pengimbas pasport automatik.
Katanya, kerajaan sentiasa menambah baik keupayaan teknikal pengimbas pasport berdasarkan kesesuaian dasar dan keperluan semasa jabatan yang selaras dengan teknologi yang terkini dan bajet semasa.
“Antara ciri-ciri yang telah ditambah baik adalah seperti fungsi pengesanan pemalsuan dokumen melalui keupayaan pengecaman dan perbandingan data teks serta cip RFID.
“Pengesanan ini dilaksanakan dengan menggunakan kaedah perbandingan gambar pasport dan live capture; fungsi lampu white light, infra merah dan ultra violet; fungsi perbandingan teks (perbandingan maklumat jantina daripada MRZ dan pasport) dan fungsi pengesanan penggantian data,” jelasnya.
Shamsul Anuar berkata, terdapat sebanyak 1,568 unit mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk Malaysia.
Bagi kawalan keselamatan di pintu masuk pula, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menambah baik kemudahan di pintu masuk seperti pelawat Singapura boleh menggunakan autogate, pelawat dari 10 warganegara berisiko rendah boleh menggunakan autogate.
Pekerja untuk syarikat yang berpangkalan di Malaysia juga boleh memohon pas ekspatriat untuk pekerja dan pemegang pas diberi kemudahan termasuk Multiple Entry Visa (MEV) dan boleh menggunakan kemudahan autogate.
“Selain daripada itu, JIM juga telah memperluaskan kemudahan autogate kepada 53 buah negara baharu.
“Negara-negara tersebut terdiri daripada 26 negara Kesatuan Eropah (EU), 17 negara-negara Eropah di luar EU, 6 negara Arab dan 4 negara lain iaitu China, Kanada, Hong Kong dan Taiwan.
“Jumlah negara yang diberikan kemudahan autogate ini adalah sebanyak 63 buah negara keseluruhannya dan akan meningkatkan bilangan pelawat asing daripada negara-negara ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!