Pahang catat pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus tahun lalu
KUANTAN - Pahang mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu mengatasi kadar pertumbuhan nasional yang mencatat 3.6 peratus nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM64.9 bilion.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, ia mencerminkan kemajuan ekonomi negeri dalam keadaan kukuh.
Menurutnya, sektor pembuatan menjadi penyumbang utama kepada KDNK Pahang dengan sumbangan sebanyak 21.6 peratus atau bersamaan RM14 bilion.
"Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding RM13.7 bilion pada tahun sebelumnya (2022).
"Eksport produk pembuatan seperti bahan kimia dan logam turut membantu meningkatkan hasil perdagangan negeri dengan nilai RM32.7 bilion berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Pahang Tahun 2023 yang dikeluarkan pada tahun 2024," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Abd Aziz Mart Kiram (BN- Batu Talam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.
Menyentuh peluang pekerjaan, Mohamad Nizar menjelaskan, industri pembuatan mencipta ribuan peluang pekerjaan di pelbagai peringkat, menyokong ekonomi keluarga dan komuniti setempat.
Katanya, ia dapat dibuktikan dengan peratus pengangguran dari tahun 2022 iaitu 2.5 peratus menurun kepada 2.0 peratus pada tahun 2023.
Empat kompaun ke atas premis lepaskan efluen
KUANTAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan empat kompaun ke atas premis yang didapati melepaskan efluen melebihi had ditetapkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di Sungai Balok.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, daripada jumlah tersebut, tiga kompaun adalah di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
"Satu lagi kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.
"Kegagalan menjelaskan kompaun tersebut akan menyebabkan tindakan mahkamah di ambil terhadap premis," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.
Sebelum itu, Andansura Rabu (Pas-Beserah) ingin mengetahui status pemantauan kualiti air Sungai Balok sepanjang 2003 dan 2024 dan apakah langkah yang telah diambil memulihkan kualiti serta keadaan Sungai Balok.
Menjawab status pemantauan kualiti air, Mohammad Fakhruddin berkata, status kualiti air di Sungai Balok masih kekal pada kelas tiga.
Jelasnya, data itu berdasarkan penilaian yang dilakukan pada 2023 dan tahun ini.
Beliau turut menambah, JAS melalui Cawangan Gebeng terus memantau dan menguatkuasakan peraturan terhadap premis-premis yang menyumbang efluen terolah ke sungai.
"Antara peraturan yang dikuatkuasakan adalah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009.
"JAS Pahang turut menjalankan program kesedaran bersama pihak industri bagi memelihara kualiti air di Sungai Balok, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!