Tukar nama UPM: Tidak wajar, bakal libat kos tinggi
SHAH ALAM - Penukaran nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia merupakan cadangan yang tidak wajar dilaksanakan kerana bakal melibatkan kos yang tinggi.
Presiden Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama), Norsyahriman Md Arif berkata, keadaaan kewangan institusi berkenaan berada dalam keadaan tidak mengizinkan, maka sebarang perbelanjaan tidak penting perlu dielakkan.
"Besar harapan Kepertama agar selepas ini anggota pentadbiran kerajaan atau ahli politik akan lebih berhati-hati dalam melontarkan sebarang pandangan mengenai UPM.
"UPM merupakan milik rakyat Malaysia dan antara aset berharga dalam negara. Pandangan, cadangan atau komen kurang cermat akan berisiko untuk merencatkan usaha UPM ke arah melahirkan anak bangsa dan graduan bitara yang holistik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan untuk menukar semula nama UPM kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia dan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Mohamad berkata, beliau sendiri akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
Dalam pada itu, Norsyahrin berkata, institusi berkenaan tidak pernah meminggir dan meninggalkan bidang pertanian walaupun nama institusi berkenaan dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia sebelum ditukar pada 3 April 1997.
Malah ujarnya, bidang pertanian juga sentiasa diangkat sebagai antara fokus terpenting dalam usaha untuk menjadi universiti terkemuka dan bereputasi antarabangsa.
Ujarnya, setiap kali pelan strategik dan matlamat UPM dibincang dan dibentang, agenda memperkasakan pertanian tidak pernah tercicir.
"Dengan hanya menukar nama, tiada sebarang jaminan segala isu yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan dalam negara akan selesai.
"Antara bukti kesungguhan dan iltizam UPM untuk menjulang bidang pertanian ke aras tertinggi ialah menjenamakan semua aktiviti pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan dengan jenama Putra yang membawa maksud 'Pertanian Untuk Rakyat'.
"Jenama Putra ini dilancarkan sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor universiti pada tanggal 16 Mei lalu dan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari," katanya.
Tambah beliau, kedudukan UPM dalam QS World University Ranking meningkat setiap tahun dan ia merupakan bukti jelas bahawa UPM kini berada di landasan terbaik untuk terus berperanan menyejahtera dan memakmurkan kehidupan rakyat khususnya dalam konteks pertanian serta keterjaminan makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!