Gagal seludup barang elektrik RM1.2 juta
KLANG - Cubaan menyeludup perkakas elektrik bernilai lebih RM1.2 juta digagalkan di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini.
Rampasan dibuat menerusi Ops Renjat Siri 1/2024 yang dijalankan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 9 hingga 30 Oktober lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi terbabit telah menahan tujuh kontena.
Katanya, pemeriksaan menemui pelbagai barang elektrik dipercayai tidak mendapat perakuan kelulusan (COA) oleh ST.
"Kuantiti sitaan sebanyak 16,966 unit dengan nilai anggaran lebih RM1.2 juta termasuk nilai duti dan cukai," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini pada Isnin.
Beliau berkata, barang elektrik terbabit dipercayai untuk dijual secara dalam talian.
Tambah Norlela, modus operandi kegiatan berkenaan ialah membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 iaitu mengikrar dagangan sebagai LCD TV, komponen kipas meja serta lampu kecemasan bagi mengelak keperluan mendapatkan COA.
Tegasnya, pengimportan barangan elektrik adalah dibenarkan tertakluk kepada perakuan kelulusan atau permit import yang dikeluarkan ST dan Institut Piawaian Penyelidikan Perindutrian Malaysia (Sirim).
Dalam kes berasingan, tujuh kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1 juta termasuk cukai disita JKDM hasil pemeriksaan ke atas 29 gudang berlesen di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menerusi Ops Terma bermula 7 hingga 30 Oktober lalu.
"Kenderaan itu melibatkan jenis Mercedes, Ferrari, Nissan GTR, Jaguar serta Toyota Alphard.
"Kesalahan yang dikesan ialah menyimpan kenderaan melebihi tempoh simpanan yang ditetapkan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!