Kerajaan jimat RM600 juta sebulan menerusi penyasaran subsidi diesel

Hui Ying pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. Foto Bernama
Hui Ying pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berjaya menjana penjimatan kira-kira RM600 juta sebulan susulan langkah penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu di Semenanjung Malaysia melalui program Budi Madani.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penjimatan yang diperoleh kerajaan itu penting bagi memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain.

Menurutnya, ia secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan antaranya seperti jalan, hospital, dan sekolah.

“Di samping itu, peruntukan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2025 turut ditingkatkan berbanding peruntukan tahun 2024.

“Kerajaan akan terus komited dalam mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif selaras dengan hasrat Kerajaan dalam menaikkan lantai di bawah Ekonomi Madani,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) tentang penjimatan kerajaan daripada subsidi diesel yang telah ditarik dan kaedah kerajaan untuk menggunakan jumlah penjimatan tersebut.

Tambah Hui Ying, di bawah program Budi Madani, terdapat tiga sub-program utama iaitu Program MySubsidi Diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0), Budi Individu dan Budi Agro-Komoditi.

Di bawah SKDS 2.0, 23 jenis kenderaan diesel pengangkutan barangan darat yang menggunakan kaedah fleet card akan kekal menikmati harga diesel pada kadar RM2.15 seliter.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada individu pemilik kenderaan diesel persendirian, golongan petani dan pekebun kecil di bawah Budi Individu dan Budi Agro-komoditi tertakluk kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan.

“Sehingga 31 Oktober 2024, lebih 140,000 penerima Budi Individu dan 65,000 penerima Budi Agri-Komoditi telah diluluskan dalam tempoh 5 bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 dengan jumlah bayaran sebanyak RM160juta.

“Selaras dengan penyasaran semula subsidi diesel, Kerajaan telah mengapungkan harga diesel tanpa subsidi di pam bagi minggu pertama bermula 10 Jun 2024 kepada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter melalui kaedah apungan harga secara terkawal,” jelasnya.

Sehingga kini, kerajaan telah menurunkan harga diesel tanpa subsidi sebanyak 40 sen seliter menjadikan harga apungan semasa kini pada kadar RM2.95 seliter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!