PH Terengganu dakwa Pas DUN Kemasik manipulasi bantuan banjir

Tangkap layar rakaman video yang tular mengenai barang bantuan JKM ditukar ke dalam plastik mempunyai logo Pas DUN Kemasik.
Tangkap layar rakaman video yang tular mengenai barang bantuan JKM ditukar ke dalam plastik mempunyai logo Pas DUN Kemasik.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu mendakwa berlaku tindakan manipulasi daripada Pas berhubung bantuan diberikan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik.

Pengarah Komunikasinya, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, tindakan memasukkan bantuan ke dalam plastik berlogo politik seolah-olah memperlihatkan wujudnya elemen manipulasi tersusun demi membina naratif palsu bahawa sumbangan tersebut datang sepenuhnya daripada parti tertentu.

"Kejadian itu melibatkan bantuan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik yang disampaikan melalui penghulu kepada mangsa banjir di PPS di DUN Kemasik.

"Namun ia dipindahkan ke plastik berlogo Pas menunjukkan contoh jelas bagaimana usaha pihak lain dimanipulasi untuk meraih kredit politik murahan.

"Sikap ini tidak hanya tidak beretika tetapi turut mencerminkan kelemahan moral pihak berkenaan yang sanggup 'mencuri' sumbangan pihak lain untuk mendapat nama," dakwanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muammar Qaddafi berkata, umum mengetahui bahawa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di bawah kerajaan negeri telah diberi kepercayaan untuk mengurus PPS tersebut.

Beliau mendakwa bagaimanapun amanah tersebut dikhianati untuk kepentingan parti politik.

"Tindakan menyalahgunakan bantuan untuk mangsa banjir demi kepentingan politik adalah perbuatan tidak beretika yang mencerminkan sikap tamak dan oportunis sesetengah pihak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Muammar Qaddafi berkata, pihaknya menyeru supaya pentadbiran di peringkat Pusat mengambil maklum selain berhati-hati terhadap permainan politik yang sering dilakukan oleh pihak pembangkang di negeri yang dikuasai mereka.

Beliau berkata, agensi kerajaan Pusat seharusnya memastikan segala bentuk amanah untuk kebajikan rakyat terutama yang disalurkan melalui agensi negeri seperti JPKK dilaksanakan dengan telus tanpa agenda politik yang boleh mencemar kepercayaan rakyat.

Susulan itu, Muammar Qaddafi mencadangkan supaya kerajaan Pusat menyerahkan tanggungjawab kebajikan rakyat kepada wakil kerajaan Persekutuan iaitu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

"Langkah ini dapat memastikan bantuan disalurkan secara telus dan bebas daripada sebarang pengaruh politik sempit yang boleh mencemarkan integriti pentadbiran," jelasnya.

Kerajaan Terengganu nafi manipulasi bantuan banjir JKM

Dalam pada itu, kerajaan Terengganu menafikan berlaku tindakan manipulasi daripada Pas berhubung bantuan diberikan kepada mangsa banjir di PPS di Sekolah Kebangsaan Kemasik seperti yang didakwa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, rakaman video yang tular mengenai barang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditukar ke dalam plastik mempunyai logo Pas DUN Kemasik itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Didapati rakaman video itu mempunyai maklumat tidak betul kerana barang yang diletakkan oleh dua individu berpakaian sukarelawan JKM tersebut adalah bukan milik barangan JKM.

"Jadi ia kelihatan mempolitikkan keadaan semasa banjir namun objektif sebenar perbuatan tersebut tidak diketahui.

"Kami mendapati mereka yang melakonkan aktiviti tersebut serta merakamkan video kejadian itu adalah mereka yang menggunakan pakaian sukarelawan JKM," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana) berkata, Ketua PPS di SK Kemasik mengesahkan tiada arahan yang dibuat kepada sukarelawan JKM untuk menggunakan plastik tersebut dan diagihkan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan.

"Jadi kita menafikan sepenuhnya perbuatan dilakukan seperti di dalam video yang tular," ujarnya.

Susulan itu, Hanafiah berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili di Balai Polis Ayer Jerneh, Kemaman pada Ahad lalu bagi menafikan kejadian tersebut.

"Pada pagi tadi (Isnin) juga Ketua PPS di SK Kemasik, Mohd Nordin Salleh turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu," ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai video berdurasi 15 saat yang memaparkan bantuan JKM ditukar ke dalam plastik berlogo Pas oleh beberapa individu yang berpakaian sebagai sukarelawan di PPS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!