[VIDEO] Najib mula membela diri hari ini
KUALA LUMPUR - Selepas 30 minit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membaca kenyataan saksi, dalam prosiding hari pertama bela diri penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram, perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kepada 2 petang, Isnin.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon demikian kerana mahu membuat pindaan terhadap kenyataan saksi Najib, 71, setebal 525 muka surat itu, yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu jilid pertama (335 muka surat) dan jilid kedua (190 muka surat).
Peguam utama bekas Presiden UMNO ini berkata, pihak pembelaan terpaksa bekerja di bawah tekanan bagi menyiapkan keterangan saksi dalam tempoh sebulan, selepas anak guamnya diperintah membela diri pada 30 Oktober lalu.
“Anak guam mahu membaca keseluruhan pernyataan pembelaan, kerana dikhuatiri tidak dapat mengingatinya.
“Ini paling kecil yang boleh kami lakukan, mengambil arahan daripada anak guam dalam penjara bukannya suatu yang mudah,” kata peguam terbabit.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) mula mendengar keterangan ahli politik ini, bagi menjawab pertuduhan kes terbabit.
Dalam jilid pertama dokumen ialah mengenai latar belakang pendidikannya, sebelum berkecimpung dalam dunia perbankan di Bank Negara Malaysia (BNM) kemudian dilantik sebagai Pengurus Perhubungan Awam di Petronas.
Beliau telah dipilih menjadi Ahli Parlimen Pekan ketika berusia 23 tahun pada 1976, menggantikan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak.
Enam tahun kemudian, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Pahang pada 1982 pada usia 29 tahun.
Pada 30 Oktober lalu, Najib diperintah bela diri atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1MDB.
Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!