Aksi penting berdepan Buriram
PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyifatkan aksi berdepan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa sebagai aksi yang amat penting bagi meneruskan survival skuad kendaliannya itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), kali ini.
Justeru katanya, kesemua pemain diingatkan untuk memberikan fokus sepanjang perlawanan dalam usaha memastikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu ke pusingan seterusnya.
“Ya, perlawanan dengan Buriam (United) ini merupakan perlawanan yang amat penting bagi kami dan kesemua pemain telah diingatkan untuk mengekalkan fokus masing-masing bagi mengharungi perlawanan yang dijangka sengit ini.
“Kesemua pemain perlu lebih dinamik, lebih kompak dari segala segi termasuk (set-pieces) serta falsafah pasukan dalam usaha melakar kejayaan.
“Dari segi persiapan pasukan, kesemua pemain bersedia untuk diturunkan dan kesebelasan utama pasukan hanya akan dimuktamadkan selepas sesi latihan petang nanti,” katanya.
Bidoglio berkata demikian pada sidang akhbar menjelang aksi berdepan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
Untuk rekod, JDT kini berada pada kedudukan kelima Kumpulan A dengan tujuh mata hasil dua kemenangan seri sekali dan tewas dua kali daripada lima perlawanan serta Buriram pula berada pada kedudukan kesembilan juga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan seri sekai dan tewas dua kali daripada lima perlawanan.
Ternyata, kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dan berada dalam kelompok atasan bagi layak ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, tonggak pertahanan JDT, Jordi Amat menegaskan aksi kedua-dua pasukan dijangka sengit kerana menemukan kelab terbaik di Thailand dan juga kelab terbaik di Malaysia.
Bagaimanapun katanya, kesebelasan pemain tetap mahukan kemenangan pada perlwlanan berkenaan dan sekali gus meraih tiga mata berharga.
“Ya, seperti yang saya katakan tadi, perlawanan ini dijangka sengit...ibarat pasukan terbaik Thailand bertemu pasukan terbaik Malaysia.
“Bagaimanapun, kami jadikan perkara ini bukan sebagai satu tekanan, tetapi lebih melihatnya sebagai satu motivasi bagi mengharungi perlawanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!