Pelajar UiTM Jasin maut dalam perjalanan ke kampus

Muhammad Irfan maut dalam perjalanan ke kampus selepas terlibat kemalangan di Jalan Jasin-Merlimau di sini, pada pagi Isnin.
Muhammad Irfan maut dalam perjalanan ke kampus selepas terlibat kemalangan di Jalan Jasin-Merlimau di sini, pada pagi Isnin.
A
A
A

JASIN - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Jasin-Merlimau di sini pada pagi Isnin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Irfan Roslan, 20, yang dalam perjalanan ke kampus dengan menunggang motosikal Yamaha NVX meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian, mangsa yang mengambil jurusan Kejuruteraan Maklumat Komputer dalam perjalanan dari arah Merlimau menuju ke Jasin.

"Namun setiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai terbabas dan masuk ke arah jalan bertentangan.

"Kenderaan SUV jenis Proton X70 dipandu kontraktor berusia 39 tahun datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tambahnya, mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima beradik disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!