SSPA bermula, masanya penjawat awam tingkat produktiviti, tidak culas

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Disember tahun 2024 di Puspanitapuri pada Isnin. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Disember tahun 2024 di Puspanitapuri pada Isnin. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas 12 tahun, penjawat awam akan menikmati pelarasan gaji yang sejak sekian lama dinantikan menerusi pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang direalisasikan Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa semalam.

Selaras pengenalan SSPA, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini menyeru warga perkhidmatan awam supaya meningkatkan mutu kerja, komitmen dan dedikasi.

"Dengan sistem gaji progresif di bawah SSPA, produktiviti mesti ditingkatkan. Tiada ruang untuk penjawat awam yang malas, culas dan cuai dan tiada lagi alasan untuk berada di takuk yang lama, tanpa inovasi, perubahan dan pembaharuan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, pada 24 November.

Beliau berkata, era baharu perkhidmatan awam ditelusuri dan diperteguh SSPA, yang memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam, selain bertujuan mencetus lonjakan motivasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Melalui SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada 1 Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada 1 Januari 2026.

Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos.

Perdana Menteri berkata, kali terakhir pelarasan gaji adalah pada 2012 dan kadar pelarasan gaji yang ditingkatkan melalui SSPA itu, dilaksanakan kerana mengambil kira berlaku peningkatan 21.3 peratus terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh 10 tahun lepas, terutamanya harga makanan dan minuman yang merupakan keperluan asas, yang turut naik pada kadar 24.8 peratus.

SSPA bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) itu bukan sekadar untuk meningkatkan pendapatan penjawat awam secara umumnya, bahkan ia dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini, turut mengingatkan penjawat awam untuk meningkatkan prestasi selaras dengan kenaikan gaji susulan pelaksanaan SSPA itu, selain menegaskan prestasi cemerlang diperlukan memandangkan rakyat mengharapkan perkhidmatan lebih baik dan berkualiti daripada sektor awam.

"Namun, seperti yang saya tekankan, kita setuju dengan ini (SSPA) kerana kita mengiktiraf dan menganggap ia wajar diberikan. Tetapi, saya hanya berharap agar saudara-saudara (penjawat awam) memastikan prestasi jauh lebih baik, kerana rakyat menuntut perkhidmatan yang lebih berkualiti,” katanya dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.

Menuju ke arah agenda reformasi perkhidmatan awam selaras dengan hasrat Perdana Menteri itu, Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia telah dilancarkan pada 23 Nov.

Deklarasi itu adalah satu ikrar yang melambangkan penyatuan hati antara peringkat Persekutuan dan negeri untuk mengangkat martabat perkhidmatan awam yang berorientasikan kepentingan rakyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!