[VIDEO] Tiada rundingan terkini semakan kadar air mentah ke Singapura – Akmal Nasrullah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan bahawa tiada keperluan untuk rundingan semakan kadar air mentah ke Singapura buat masa ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan pada Oktober lepas antara kementerian itu dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Dalam isu kadar jualan air mentah kepada Singapura berdasarkan Perjanjian Air 1962, kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang berhati-hati dan teliti.

“Sebarang perubahan terhadap kadar ini perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat daripada Singapura, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor.

“Hal ini penting bagi memastikan sebarang langkah yang diambil tidak membebankan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada Kerajaan Malaysia akan berbincang dengan Kerajaan Singapura untuk mengkaji semula Perjanjian Sungai Johor tahun 1962 yang tidak adil kerana membenarkan Singapura menerima 250 juta gelen air dari Johor sehingga tahun 2061 pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Akmal Nasrullah pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. Foto Bernama
Akmal Nasrullah pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. Foto Bernama

Tambah Akmal, perjanjian tersebut membenarkan Singapura mengambil sehingga 250 juta gelen sehari (MGD) air mentah daripada Sungai Johor pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, negeri Johor membeli air terawat daripada Singapura pada kadar RM0.50 setiap 1,000 gelen.

“Berdasarkan rekod Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Johor kini membeli purata 16 juta gelen sehari (MGD) air terawat, jauh melebihi kadar 5 MGD yang diperuntukkan dalam perjanjian. Ini menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun ditanggung oleh negeri Johor.

“Untuk mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, projek Zero Dependency telah dirangka dan sedang dilaksanakan.

“Antara projek utama adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Johor (Sungai Lebak), pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar, serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air Layang 2 dan Loji Rawatan Air Semangar,” jelasnya.

Kata Akmal Nasrullah, projek-projek itu bertujuan meningkatkan kapasiti simpanan air mentah dan terawat, sekali gus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang.

Walaupun usaha itu penting, sasaran untuk mencapai Zero Dependency menjelang tahun 2030 mungkin tidak dapat direalisasikan sepenuhnya mengambil kira pertumbuhan sektor industri seperti pusat data dan semikonduktor.

“Oleh itu, bekalan air terawat daripada Singapura masih diperlukan untuk memenuhi keperluan air negeri Johor. Dalam hal ini, kerajaan terus mengutamakan rundingan dan pandangan pihak berkepentingan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!