DUN Perak kecoh isu kibar bendera negara China

Razman
Razman
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kecoh mengenai insiden kibaran bendera negara China yang tular berlaku di Dataran Menara Condong Teluk Intan pada September lalu.

Isu itu pada awalnya dibangkitkan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria yang mahu ia disiasat dengan lebih mendalam kerana mendakwa individu mengibarkan bendera negara China itu merupakan warga tempatan.

Menurutnya, tindakan mengibarkan bendera negara asing oleh warga tempatan merupakan kesalahan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya minta diambil tindakan. Kalau nak maklumat, saya bagi untuk membuktikan bahawa yang mengibarkan itu adalah Cina Malaysia bukan warga China.

Razman (duduk, tengah) mengulangi pendirian di luar DUN bahawa agar siasatan lebih mendalam dibuat berkaitan isu tersebut.
Razman (duduk, tengah) mengulangi pendirian di luar DUN bahawa agar siasatan lebih mendalam dibuat berkaitan isu tersebut.

"Kita telah buat siasatan nama-nama ini merupakan orang tempatan. Saya minta pihak polis ambil bukti ini untuk kita sahkan dan kita boleh buat persidangan lain sekiranya saya salah, kita tarik balik," katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Perak 2025 sempena Sidang DUN Perak di sini pada Isnin.

Persidangan kemudiannya kecoh apabila Jason Ng Thien Yong (PH-Astaka) mendesak agar Razman mengemukakan nama-nama warga tempatan yang dikatakan mengibarkan bendera negara China itu memandangkan siasatan polis mengatakan bahawa individu yang mengibarkan bendera tersebut warga China.

Selain itu beberapa ADUN antaranya, Ong Boon Piow (PH-Bercham), Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh), Wong May Ing (PH-Pantai Remis) dan Jenny Choi Tsi Jen (PH-Canning) yang bangun meminta kenyataan tersebut ditarik balik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Razman enggan berbuat demikian dan sedia diambil tindakan jika dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.

Sementara itu, ketika sidang medianya, Pesuruhjaya Pas Perak itu mengulangi agar siasatan lebih mendalam dibuat berkaitan isu tersebut.

Katanya, senarai nama individu yang mengibarkan bendera China itu sedia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan Pas Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan dalam satu sambutan berhampiran Menara Condong Teluk Intan pada Khamis.

Ini kerana perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Pada 29 Oktober lalu, Polis Perak memaklumkan kertas siasatan insiden mengibarkan bendera negara China di Dataran Menara Condong, Teluk Intan sudah lengkap.

Kertas berkenaan dirujuk ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!