Pasangan kekasih antara lima ditahan terlibat kes curi kabel

Sazalee (kanan) menunjukkan barangan yang ditemui di dalam kereta yang ditinggalkan suspek di Jalan Sultan Azlan Shah.
Sazalee (kanan) menunjukkan barangan yang ditemui di dalam kereta yang ditinggalkan suspek di Jalan Sultan Azlan Shah.
A
A
A

BALIK PULAU - Pasangan kekasih antara lima yang ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes kecurian kabel di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki yang merupakan dalang utama dan teman wanitanya itu ditahan di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah jam 9.30 malam pada 30 November lalu.

Menurutnya, selain pasangan itu, turut ditahan tiga lelaki lain, seorang daripadanya adalah bapa kepada dalang utama sindiket berkenaan.

Kata Sazalee, sebelum kesemua ditahan, polis menerima maklumat mengenai kecurian kabel di belakang sebuah stesen minyak di Sungai Nibong, George Town.

"Ketika polis menghampiri kedua-dua kereta tersebut, penjenayah sedang mengisi kabel yang dicuri ke dalam kereta. Selepas menyedari kehadiran polis, mereka bertindak memecut laju kenderaan menghala ke Sungai Dua.

"Polis kemudiannya mengejar salah sebuah kenderaan tersebut sejauh tiga kilometer sebelum ia terbabas di Jalan Sultan Azlan Shah dan pemandunya melarikan diri ke arah Sungai Dua," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Isnin.

Tambah beliau, pemeriksaan di dalam kereta tersebut menjumpai dua alat pemotong kabel, sebuah tukul besi, sebuah pemutar skru, sebuah telefon bimbit, jaket, 60 keratan kabel dan satu anak kunci.

"Susulan daripada itu, polis menahan seorang lelaki yang berperanan sebagai penghapus bukti di sebuah rumah di Taman Berangan, Sungai Petani. Suspek merupakan bapa kepada dalang utama sindiket berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, kita menahan pasangan kekasih di sebuah hotel dan dua lelaki lain di beberapa lokasi di Sungai Petani. Kesemua suspek adalah warga tempatan dan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun," katanya.

Sazalee menambah, kumpulan tersebut bergiat aktif sejak setahun lalu dan menyasarkan Pulau Pinang sebagai lokasi untuk melakukan jenayah.

"Hasil semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan jenayah dan narkotik. Mereka juga positif dadah jenis methaphetamine serta amphetamine.

"Suspek direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Ujarnya, susulan penahanan kesemua suspek, polis masih memburu lapan suspek yang masih bebas.

"Mereka ini dipercayai terlibat dengan kumpulan tersebut.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan tersebut boleh menghubungi Inspektor Muhammad Nazirul Azhar Abdul Mutalib di talian 011-54143254," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!