Lucinta ditempatkan di lokap wanita, miliki KTP berstatus wanita
JAKARTA - Penyanyi dangdut yang juga selebriti Indonesia, Lucinta Luna yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah akan ditempatkan di lokap wanita kerana memiliki Kartu Tanda Penduduk (KTP) atau kad pengenalan diri berstatus wanita.
Menurut Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metro Jaya, Yusri Yunus, Lucinta atau nama sebenarnya Muhammad Fatah, 30, telah menjalani proses pembedahan jantina.
"Suspek masih menjalani proses siasatan (kes dadah) dan berdasarkan makluman pihak Pengadilan (Mahkamah) Negeri Jakarta Selatan, KTP terbaharu Lucinta itu berstatus wanita, telah dikeluarkan pada Disember 2019," katanya.
Lucinta ditahan pada 1.30 pagi Selasa lepas di apartmentnya di Thamrin City, Jakarta Pusat, bersama tiga lagi rakannya selepas dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis ekstasi.
Semalam, menurut media tempatan, polis bingung untuk menempatkan penyanyi itu di lokap wanita atau lelaki selepas selesai proses siasatan sebelum menjalani proses tindakan perundangan selanjutnya kerana suspek memiliki pasport Indonesia berstatus lelaki manakala KTPnya berstatus wanita.
"Pasport itu pasport lama, selepas proses siasatan nanti Lucinta akan ditahan di lokap di blok wanita di Polis Metro Jaya, suspek didapati positif penyalahgunaan dadah dan telah mengaku menggunakan pil itu sejak lima bulan lepas.
"Berdasarkan undang-undang penyalahgunaan dadah 2009, jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum lima tahun," kata Yusri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!