Tujuh panduan fiqh banjir yang boleh dilakukan

KEPADA mereka yang terjejas akibat banjir, boleh amalkan fiqh banjir sebagaimana yang diajarkan dalam Islam. -Foto: CANVA
KEPADA mereka yang terjejas akibat banjir, boleh amalkan fiqh banjir sebagaimana yang diajarkan dalam Islam. -Foto: CANVA
A
A
A

APA jua musibah dihadapi termasuk ujian banjir, sebagai umat Islam, kewajipan sebagai hamba tetap wajib disempurnakan dengan sebaiknya.

Sebagai contoh, solat fardu lima waktu tidak boleh diabaikan begitu sahaja walaupun mengalami kesulitan berbuat demikian apatah lagi ketika rumah sendiri dilanda bah.

Begitu juga dalam urusan perihal ibadah wajib yang lain.

Bagi memudahkan mangsa banjir yang melepasi angka 130,000 orang di seluruh negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pendakwah terkemuka, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar berkongsikan panduan ibadah pada musim bah.

INFOGRAFIK berkenaan fiqh banjir yang dikongsikan oleh Jakim di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.
INFOGRAFIK berkenaan fiqh banjir yang dikongsikan oleh Jakim di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.

Berikut panduan fiqh banjir yang dikongsikan menerusi laman sosial Facebook masing-masing milik jabatan dan penceramah berkenaan pada Ahad:

1. Jamak solat ketika banjir

Artikel Berkaitan:

Tidak dibolehkan jamak ketika banjir kerana mangsa pada kebiasaannya ditempat di dalam penempatan sementara dan tidak melibatkan jarak yang jauh.

Menurut pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie, tidak boleh menjamakkan solat ketika banjir. Namun begitu, andai ada kesukaran dan keperluan mendesak seperti menyelamatkan nyawa dan diri, maka dibolehkan jamak mengikut pendapat sebahagian ulama seperti Imam An-Nawawi.

2. Berwuduk dengan air banjir

Dibolehkan untuk berwuduk dengan air banjir dan sah kerana air banjir selalunya datang daripada air sungai dan hujan yang mana kedua-duanya ialah air mutlak.

SAH berwuduk dengan air banjir kerana ia selalunya datang daripada air sungai dan hiujan yang mana kedua-duanya ialah air mutlak. -Foto: CANVA
SAH berwuduk dengan air banjir kerana ia selalunya datang daripada air sungai dan hiujan yang mana kedua-duanya ialah air mutlak. -Foto: CANVA

Bagaimanapun, jika air itu sudah digunakan untuk berwuduk, mandi dan menghilangkan najis, maka ia tidak lagi suci.

3. Hukum beri zakat kepada mangsa banjir

Harus memberikan zakat kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana yang menyebabkan rumah mereka musnah dan tidak ada lagi apa-apa yang dimiliki. Mereka dikategorikan sebagai golongan al-Gharimin.

4. Hukum pakai baju terkena air banjir dan lumpur

Sah solatnya selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda jelas ia telah terkena najis.

5. Bolehkah solat di dalam air?

Solat di dalam air adalah sah dan wajib rukuk serta sujud seperti biasa sekiranya sekiranya mampu kerana paras air tidak terlalu tinggi.

Namun begitu, terdapat sebahagian pendapat mengharuskan untuk solat dengan isyarat sahaja seperti menundukkan sedikit kepala lebih daripada rukuk, tetapi tidak sampai ke dalam air sebagai isyarat bagi sujud.

INFOGRAFIK berkenaan fiqh banjir yang dikongsikan di laman sosial Facebook milik Ustaz Wadi Annuar pada Ahad.
INFOGRAFIK berkenaan fiqh banjir yang dikongsikan di laman sosial Facebook milik Ustaz Wadi Annuar pada Ahad.

6. Wajibkah solat Jumaat?

Ia wajib sekiranya penempatan mangsa banjir mencukupi 40 orang yang diwajibkan solat Jumaat ke atas mereka.

Sekiranya terkandas di dalam rumah disebabkan banjir, maka ia tidak diwajibkan.

7. Cara lupuskan al-Quran rosak akibat banjir

Terdapat dua pendapat iaitu membakarnya atau menanamnya. Kedua-dua kaedah itu diharuskan kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Quran atau mashaf.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!