'Benarkan tanaman musang king melalui pajakan tanah kerajaan negeri'
KUANTAN – Pembangkang di Pahang mencadangkan aktiviti penanaman durian musang king dibenarkan melalui pajakan tanah milik kerajaan negeri bagi memastikan industri itu berkembang secara mampan dan teratur.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, saranan berkenaan dibuat memandangkan negeri itu mempunyai potensi besar untuk menjadi hab pengeluaran durian utama di Malaysia.
Menurutnya, isu pencerobohan tanah secara haram sering dikaitkan dengan penanaman durian khususnya musang king yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri.
"Kita ada empat daerah iaitu Raub, Bentong, Jerantut dan Lipis yang menjadi antara kawasan sangat berpotensi bagi pengeluaran durian.
Kita cuba rasmikan (halalkan) penanaman musang king sama ada (melalui) proses pemberian pajakan tahunan kepada pengusaha durian.
"Sebagai contoh, kerajaan negeri menjual tanah di Gebeng kepada sebuah syarikat seluas 23.6 hektar dengan pajakan 99 tahun.
Jika pajakan panjang ini boleh diberikan kepada industri lain, saya fikir kita boleh lihat keperluan untuk penanaman musang king diberikan pajakan contohnya 50 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2025 dalam Persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, sistem pajakan jangka panjang kepada sektor durian bukan sahaja berpotensi meningkatkan hasil negeri malah mampu mengelakkan pencerobohan haram.
“Kegiatan penerokaan tanah secara haram menyebabkan kerajaan kehilangan hasil balak, tanah dan sumber lain seperti emas atau mineral berharga yang mungkin wujud.
"Oleh itu, sudah tiba masanya kita rasmikan pajakan untuk menjadikan Pahang pengeluar utama durian di Malaysia,” ujarnya lagi.
Dalam perbahasan itu, beliau memaklumkan bahawa melalui Belanjawan Pahang 2025, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah dana khusus untuk kelestarian alam sekitar dan biodiversiti.
Namun, Tuan Ibrahim menegaskan pembalakan tidak terkawal di beberapa kawasan telah mencemarkan sungai dan air terjun, menjadikannya kurang menarik sebagai destinasi pelancongan.
"Sungai yang dahulunya popular sebagai tempat perkelahan, khususnya yang mengalir dari kawasan tadahan air di Hutan Simpan Lentang kini terbiar akibat pencemaran daripada pembukaan hutan berhampiran.
"Kegagalan menjaga alam sekitar akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri dan rakyat," katanya.
Beliau mencadangkan agar kawasan-kawasan seperti Hutan Simpan Lentang diwartakan sebagai Penilaian Biodiversiti Rizab Harimau Al-Sultan Abdullah.
"Selain itu, hutan-hutan yang memiliki air terjun dan kawasan tadahan air di seluruh Pahang seperti di Lipis, Bentong, Raub, dan Jerantut, segera diwartakan sebagai Taman Negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!