Program rai 40 pasangan pengantin tangguh ke tarikh lain jika banjir

Pasangan pengantin bergambar kenangan bersama Ismail Sabri (lapan dari kanan) dan Sabariah (sembilan dari kiri) sempena Program Anggun Suri Daerah Bera di Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera di sini pada Ahad.
Pasangan pengantin bergambar kenangan bersama Ismail Sabri (lapan dari kanan) dan Sabariah (sembilan dari kiri) sempena Program Anggun Suri Daerah Bera di Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera di sini pada Ahad.
A
A
A

BERA - Program Anggun Suri yang dianjur bagi meraikan 40 pasangan pengantin akan ditangguhkan buat sementara waktu jika lokasi terlibat dilanda banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, tarikh baharu akan diberikan kepada pasangan pengantin yang terlibat dalam program tersebut.

Menurutnya, 40 pasangan pengantin diraikan secara beramai-ramai menerusi program tersebut.

"Ia membabitkan empat lokasi iaitu Kuantan, Bera, Kuala Krau dan Cameron Highlands dengan kos keseluruhan RM500,000 dalam program julung kalinya dianjurkan oleh kerajaan negeri.

"Kalau banjir berlaku di lokasi terlibat, majlis akan ditangguh dan diberikan tarikh baharu," katanya.

Beliau ditemui sempena Program Anggun Suri Daerah Bera membabitkan sembilan pasangan pengantin di Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera di sini pada Ahad.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pahang, Mazlina Mohamad Lazim.

Ujar Sabariah, program itu akan diteruskan pada tahun hadapan berdasarkan permohonan yang diterima setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi pasangan Elly Sholehatulradziah Mohd Azman, 20, dan Muhammad Nur Hanif Norpauzi, 21, inisiatif kerajaan negeri memudahkan urusan mereka mendirikan rumah tangga.

“Rasa bersyukur. Alhamdulillah dapat sertai sekali jika tidak, lambat lagi perancangan hendak kahwin.

“Kami memang merancang hendak kahwin tapi sebab modal. Macam ni tak banyak pun kos, kami hanya buat untuk nikah dan duit hantaran. Terima kasih kerajaan negeri membantu kami," kata pasangan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!