Tayangan percuma buat calon Filem Terbaik FFM33
PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menganjurkan sebuah program iaitu Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem selama lima hari bermula pada 2 hingga 6 Disember ini.
Lima filem yang terlibat adalah Duan Nago Bogho (tayangan 2 Disember), Imaginur (3 Disember), Mechamato Movie (4 Disember), Hungry Ghost Diner (5 Disember) dan Rain Town (6 Disember).
Menariknya, program yang dianjurkan sempena Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) yang akan berlangsung pada 7 Disember itu adalah terbuka kepada orang ramai dan tiada sebarang bayaran yang dikenakan.
"Tujuan utama program apresiasi filem ini dianjurkan adalah untuk membuka peluang penyertaan kepada masyarakat umum yang berminat untuk mengikuti sesi tayangan dan apresiasi filem berkaitan perkongsian idea dan pendapat mengenai filem-filem secara ilmiah bersama ahli-ahli panel.
“Selain itu, program ini juga membantu mempromosikan dan meningkatkan publisiti FFM33 dalam kalangan penggiat industri tempatan dan antarabangsa,” ujar Finas dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu lagi, program tersebut dibuat saban tahun dan antara intipati aturcara semasa program berkenaan adalah tayangan filem dan kemudian sesi diskusi.
“Bagi sesi tayangan dan apresiasi, antara intipati program apresiasi akan dilaksanakan bermula dengan tayangan pada jam 8 malam di Hall 8, GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.
“Sebaik sahaja selesai tayangan akan dimulakan sesi apresiasi dengan Moderator dan panel-panel bersama penonton yang hadir,” kata Finas.
Sesi tayangan itu adalah terhad kepada 100 orang sahaja dan orang ramai yang ingin menyertai program berkenaan boleh mendaftar kehadiran di pautan https://forms.gle/rwL63GvGEMY4UqUVA atau imbas QR Code yang tertera.
Setelah pendaftaran dibuat, boleh hadir di kaunter urusetia di pintu masuk pawagam dengan membawa notifikasi yang diterima di emel pendaftar.
Di samping itu, Finas juga akan mengadakan sesi tayangan umum filem-filem yang bertanding sempena FFM33 secara percuma bermula 30 November hingga 6 Disember 2024 di pawagam GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dan tayangan pada 1 Disember 2024 di GSC Imago Kota Kinabalu, Sabah dan GSC Spring Mall Kuching Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!