'Kembalikan harga asal padi, jangan bebankan kami'

Pesawah kecewa apabila harga lantai belian padi turun daripada RM1,600 kepada RM1,500 secara tiba-tiba.
Pesawah kecewa apabila harga lantai belian padi turun daripada RM1,600 kepada RM1,500 secara tiba-tiba.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kira-kira 800 pesawah di Mukim Pasir Panjang di sini mengeluh berikutan harga lantai belian padi menurun daripada RM1,600 kepada RM1,500 satu tan metrik yang disifatkan rendah dan membebankan golongan itu.

Rata-rata pesawah kecewa apabila harga belian itu lebih rendah selain masih mengekalkan potongan pemutuan padi pada kadar 20 peratus.

Hisyamudin
Hisyamudin

Seorang pesawah, Hisyamudin Hussin, 30, berkata, kebanyakan pesawah tidak sempat menikmati harga RM1,600 satu tan metrik berikutan tanaman padi masih belum dituai kerana cuaca tidak menentu akibat hujan.

"Harga belian padi (RM1,600) ini hanya tiga hari sahaja sewaktu padi mula dijual sedangkan lebih 90 peratus tanaman di mukim ini masih belum dipotong.

"Kami merayu kepada kerajaan mengembalikan semula harga padi pada asal dan bukannya menurunkan kepada harga lebih rendah," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Hisyamudin yang mengusahakan tanaman padi seluas 18 hektar di Pasir Panjang, di sini memberitahu, keadaan itu memberi kesan terutama kepada pemilik tanaman itu secara besar-besaran.

"Saya sendiri akui terkesan kerana harga belian padi jatuh, sedangkan musim ini terdapat peningkatan dari segi kualiti padi bagi menampung kos-kos lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sulbani
Sulbani

Seorang lagi pesawah, Sulbani Abd Karim, 59, berkata, kejatuhan harga belian padi menjejaskan pesawah apabila terpaksa berdepan kos kenaikan upah jentera menuai dan membajak berikutan penyasaran subsidi diesel sebelum ini.

Jelasnya, pesawah ketika ini berisiko mengalami kerugian kerana kos menghasilkan padi ketika ini sangat tinggi.

"Jika dahulu kos untuk mesin jentuai dan upah lori penghantaran ke kilang hanyalah RM65 setiap tan metrik, kini harganya meningkat kepada RM95 bagi kos yang sama.

"Kenaikan kos ini memang menghantui kami kerana inilah sahaja punca utama rezeki bagi menanggung pendapatan keluarga," ujarnya.

Arbain kecewa apabila harga padi turun dan pemotongan pemutuan padi masih pada kadar tinggi.
Arbain kecewa apabila harga padi turun dan pemotongan pemutuan padi masih pada kadar tinggi.

Arbain Manap, 52, memberitahu, pesawah kecewa apabila harga padi turun termasuk pemotongan pemutuan padi masih pada kadar tinggi.

Arbain yang mengusahakan tanaman padi sejak berusia 15 tahun berkata, jika 20 atau 30 tahun dahulu pemutuan potongan padi sangat rendah iaitu antara lapan hingga 12 peratus sahaja berbanding 10 tahun kebelakangan ini.

"Saya masih ingat walaupun harga belian padi waktu itu rendah, namun potongan pemutuan pula tidaklah terlalu tinggi macam sekarang yang melebihi 20 peratus.

"Saya mencadangkan kerajaan memberi galakan kepada pesawah yang menghasilkan tujuh tan metrik pengeluaran hasil padi diberikan potongan pemutuan bawah 17 peratus di sebalik harga belian yang tidak menentu," jelasnya.

Mohd Sabri Samsuddin, 33, berkata, penurunan harga itu memusnahkan hasrat golongan pesawah untuk menikmati hasil lebih baik pada musim ini.

Katanya, hasil padi musim ini dijangka lebih baik, namun mereka pula berdepan isu harga belian padi yang rendah.

"Saya harap dapat meningkatkan hasil pengeluaran kerana musim ini kurang masalah serangan serangga dan haiwan perosak, tetapi isu harga belian padi pula rendah," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!