Warga asing tidak dibenarkan menjadi penjaja atau peniaga kecil - KPKT
KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah mengiktiraf atau membenarkan mana-mana warga asing untuk menjadi penjaja dan peniaga kecil.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, malah mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) Penjaja, warga asing juga tidak dibenarkan untuk menjadi pekerja atau pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.
"PBT juga tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras dengan UUK Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.
"Ini kerana kadar sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Aiman Athirah berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin mengenai langkah pihak berkuasa dalam menangani isu peniaga warga asing, yang sewenang-wenangnya mendirikan kedai sementara di bahu jalan dan berniaga di pasar malam.
Beliau berkata, di bawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian pengeluaran lesen perniagaan hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja, dan mereka dibenarkan mengambil warga asing sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat memiliki pas kerja atau permit dagang yang sah.
"PBT, tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen, melalui tindakan tegas seperti sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen,” katanya.
Pada masa yang sama, Aiman Athirah berkata, kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan memperketatkan syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing-masing, bagi mengekang operasi perniagaan oleh warga asing.
Beliau berkata, PBT juga tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen melalui tindakan tegas seperti sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen.
"Sejak 2022 hingga kini, PBT telah melaksanakan sebanyak 2,031 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan dan membatalkan 26,108 lesen peniaga atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen dan premis yang ditetapkan, termasuk memindah milik lesen atau permit mereka kepada warga asing,” katanya.
Pada masa yang sama, Aiman Athirah berkata, PBT juga menyediakan pelbagai saluran penyampaian aduan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat, bagi mengekang penjaja asing tanpa lesen antaranya pusat talian setempat atau talian aduan awam, e-Aduan yang boleh diakses melalui portal PBT dan aplikasi mudah alih PBTcare.
Beliau berkata, aplikasi PBTCare yang dibangunkan oleh KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan ialah aplikasi mesra pengguna, yang membolehkan rakyat mengemukakan aduan lengkap dengan menyertakan gambar dan lokasi secara masa sebenar dan seterusnya mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!