Dominasi pencalonan FFM33, Nik Amir serah pada juri
PENERBIT Lumatic Films Sdn Bhd yang juga pengarah filem Imaginur, Nik Amir Mustapha tidak menyangka karyanya berjaya mendominasi 15 pencalonan di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33.
Nik Amir, 39, berkata, dia bersyukur kerana filem genre sains fiksyen romantik itu bukan sahaja tercalon dalam kategori Filem Terbaik, tetapi juga kategori barisan pelakon utama dan pembantu serta pasukan kru produksi filem berkenaan.
“Soal kemenangan terpulang kepada barisan juri yang membuat penilaian ke arah genre cerita yang bagaimana mereka pilih nanti.
“Kalau mereka ke arah genre cerita tertentu, kami terima sahaja keputusannya sama ada filem menang atau kalah besar pada malam kemuncak FFM 33 nanti,” katanya.
Menampilkan lakonan mantap, Diana Danielle dan Beto Kusyairy, filem Imaginur berjaya mendapat 15 dari 24 kategori pencalonan pada FFM 33 membabitkan kategori seperti Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Selain itu, filem itu turut membolosi kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.
Ditanya mengenai pesaingan pula, pengarah yang pernah menghasilkan KIL, Rise: Ini Kalilah dan Nova itu tidak menafikan saingan sengit dengan filem lain seperti Abang Adik dan Sheriff.
Filem Abang Adik arahan Jin Ong meraih 11 pencalonan dalam kategori yang dipertandingkan antaranya Pengarah Harapan, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Lakon Layar Terbaik.
“Saya sudah menonton filem Abang Adik karya Jin Ong itu dan ia juga filem yang bagus. Begitu juga Sheriff arahan Syafiq Yusof.
“Tanyalah pada semua calon pun pastinya semua berharap filem mereka akan menang tapi kita tunggu sahaja keputusan pada malam kemuncak," ujarnya.
Berkongsi kekuatan filem Imaginur pula, kata Nik Amir, mungkin kebanyakan penonton dapat mengaitkan jalan cerita filem dengan kehidupan mereka sehingga ia berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM6 juta di pawagam pada tahun lalu.
“Hasrat saya buat filem ini memang untuk tontonan rakyat Malaysia. Saya mahu kongsi karya genre filem yang disukai dan tidak biasa disajikan kepada penonton tempatan.
“Kejayaan filem Imaginur diharap dapat menarik lebih ramai lagi penonton untuk menerima genre sains fiksyen romantik selepas ini,” katanya.
Mengulas prestasi barisan pelakon pula, kata Nik Amir, dia sangat berpuas hati dengan komitmen terbaik barisan pelakon filem Imaginur terutama teraju utamanya, Beto dan Diana dalam filem itu.
“Lakonan Beto dan Diana sangat bagus seperti dikehendaki skrip dan menjiwa karakter serta mereka memang ada bakat semulajadi.
“Dari segi lakonan, mereka memang layak untuk menang kategori pelakon terbaik pada malam FFM 33 nanti,” katanya.
Malam kemuncak FFM33 berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media jam 9 malam pada 7 Disember ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!