Azman Shah dilantik sebagai CEO MMC Port Holdings Sdn Bhd

Azman Shah.
Azman Shah.
A
A
A

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Northport (Malaysia) Bhd (Northport), Datuk Azman Shah Mohd Yusof dilantik sebagai CEO MMC Port Holdings Sdn Bhd bermula 1 Disember 2024.

MMC Port Holdings Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, Azman mempunyai 30 tahun pengalaman dan pengetahuan meluas dalam analisis pelaburan, kewangan korporat, strategi kroporat, pembangunan perniagaan serta pencapaian terbaik dalam pengurusan pelabuhan.

"Sebelum ini, beliau merupakan CEO Northport pada 2016 dan memegang beberapa jawatan seperti Pengerusi Port Klang Cruise Terminal Sdn Bhd; Pengarah Klang Port Management Sdn Bhd; Pengarah Northport Distripark Sdn Bhd serta lain-lain.

"Keupayaan kepimpinannya terbukti dan visi strategik bersedia untuk memaksimumkan nilai pemegang saham, memastikan pertumbuhan mampan dan perniagaan pelabuhan bagi mencapai tahap baharu serta memberi pencapaian luar biasa kepada pihak berkepentingan," katanya pada Isnin.

Sementara itu, Northport turut mengumumkan pelantikan kepimpinan utama syarikat berkenaan iaitu CEO baharunya yang diserahkan kepada Fakhrul Azhar Tajudin berkuat kuasa 1 Disember 2024 bagi menggantikan Azman Shah.

Fakhrul Azhar.
Fakhrul Azhar.

Menurut kenyataan itu, Fakhrul Azhar mempunyai 25 tahun pengalaman yang meluas dalam industri pelabuhan dan logistik.

"Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Pengurus Besar Terminal Bahagian Operasi di Northport dan mempunyai pengalaman kepimpinan luar biasa termasuk kepakaran operasi.

Artikel Berkaitan:

"Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya (UM) dan mempunyai diploma dalam Pengurusan Pelabuhan dari Universiti Cambridge Local Examinations Syndicate (UCLES) serta menyertai ASEAN Senior Program Pengurusan Pembangunan anjuran Harvard Business School Alumni Club of Malaysia," jelasnya.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, bagi jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) pula diberikan kepada G Ulaganathan yang turut berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.

G Ulaganathan.
G Ulaganathan.

Ujarnya, menerusi pengalaman 28 tahun di pelabuhan dan industri logistik, G Ulaganathan ditugaskan untuk mengawasi operasi terminal Northport termasuk kontena, kargo konvensional, logistik, perkhidmatan marin dan bahagian komersial.

Tambah kenyataan itu, beliau merupakan pemegang Diploma Pengurusan Pelabuhan dari Universiti Cambridge Local Examinations Syndicate (UCLES).

"Lembaga pengarah dan pengurusan mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan luar biasa dan sumbangan tidak ternilai selama sembilan tahun Azman Shah memegang jawatan sebagai CEO serta mengharapkan yang terbaik untuk beliau.

"Kami yakin Fakhrul Azhar dan G Ulaganthan mampu untuk terus memacu inovasi dan kecemerlangan bagi membawa Northport ke tahap lebih tinggi serta mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau dan global," kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!