Saya tidak pernah jejak Ambank untuk melakukan rasuah - Najib
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, beliau tidak pernah menjejakkan kaki di Ambank Jalan Raja Chulan, di sini untuk melakukan jenayah salah guna kedudukan untuk rasuah, antara 24 Februari dan 14 Jun 2011 lalu.
Najib, 71, berkata demikian dalam prosiding hari pertama bela diri penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram, di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan).
Ketika membaca jilid pertama kenyataan saksi setebal 335 muka surat, bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak pernah berada di bank terbabit pada waktu berkenaan, untuk melakukan jenayah sama ada dalam kes 1MDB mahupun SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bukan itu sahaja Najib berkata, ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau juga tidak pernah diminta untuk menjelaskan dakwaan penggunaan jawatan untuk kes itu.
“Saya hanya mendapat tahu mengenai pertuduhan berkenaan setelah kes terbabit dibacakan di mahkamah.
"Saya sangat hairan dan terpaksa bertanya kepada peguam mengenai dakwaan ini,” katanya.
Ketika disoal peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai suapan yang didakwa berjumlah RM60,629,839.43 dalam pertuduhan pertama, bekas Presiden UMNO itu berkata, kadar itu tidak secara khusus ditanya kepadanya.
Beliau juga berkata, tidak diberitahu bahawa jumlah itu berkaitan dengan pertuduhan sama atau berkait jaminan kerajaan yang diberikan antaranya kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dan nota Islamic Medium-Term Notes (IMTN) RM5 bilion.
Dalam isu lain, beliau berkata, RM60.6 juta yang menjadi pertikaian dalam siasatan terhadapnya, pernah dimaklumkan kepada pasukan siasatan.
Katanya, wang itu didermakan oleh kerajaan Arab Saudi, yang mana beliau percaya, sumbangan Almarhum Raja Abdullah daripada dana peribadi atau kerajaan itu, dihantar oleh Putera Faisal bin Turki bin Bandar Al-Saud.
“Saya juga menerima surat pengesahan Arab Saudi bahawa derma itu daripada Raja Abdullah melalui wakil Dirajanya yang kemudian dipanjangkan kepada AmBank dan Bank Negara.
“Pada pertemuan dengan Raja Abdullah, saya diberitahu secara khusus akan dibantu dalam Pilihan Raya Umum untuk memastikan bahawa saya dilantik lagi sebagai Perdana Menteri, saya faham ini merupakan bantuan kewangan,” katanya.
Pada 30 Oktober lalu, Najib diperintah membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan bersambung Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!