Pelajar Tingkatan 1 maut denggi
BUKIT MERTAJAM - Seorang pelajar Tingkatan 1 meninggal dunia selepas dia disahkan menghidap denggi pada 7 Januari lalu.
Muhammad Farish Mohd Rafi, 12, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk merupakan korban pertama denggi di Kadun Machang Bubuk untuk tahun ini.
Dia mula dikesan mengalami demam sejak 4 Januari sewaktu tinggal bersama bapa saudaranya di Taman Machang Bubuk. Keadaan Muhammad Farish semakin teruk pada 7 Januari hinggalah sampai ke tahap dia tidak sedarkan diri.
Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon berkata, wabak denggi di Kadun Machang Bubuk mencapai tahap yang membimbangkan.
Menurutnya, 460 kes demam denggi dikesan pada penghujung 2018, satu peningkatan yang tinggi berbanding jumlah demam denggi yang berlaku pada 2017 iaitu 100 kes.
"Kita memohon penduduk di Machang Bubuk lebih berwaspada selain peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling.
"Hapuskan tempat pembiakan aedes berdekatan kawasan perumahan serta gunakan ubat membunuh jentik-jentik," katanya di sini semalam.
Khai Loon juga menyarankan penduduk mengadakan gotong-royong membasmi dan memusnahkan tempat pembiakan aedes bagi membasmi denggi.
Katanya, pada 15 Januari depan, pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas pencegahan denggi di pusat khidmatnya di Pusat Perniagaan Alma.
"Mesyuarat khas ini juga akan dihadiri oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah dan agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Daerah Seberang Perai Tengah mencatatkan peningkatan wabak denggi membimbangkan apabila 1,531 kes dilaporkan.
Daripada jumlah itu, lapan kematian dilaporkan selain mempunyai tujuh lokaliti kawasan panas (hotspot), empat lokaliti wabak tidak terkawal dan 17 lokaliti wabak terkawal sehingga 18 Disember lalu.
Daerah Seberang Perai Utara juga sebanyak 449 kes denggi dilaporkan dengan dua kematian dan 250 kes di Seberang Perai Selatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!