Fi RM1 di ATM perlu dimansuhkan - NUBE

PayNet termasuk BNM dan 11 bank yang lain digesa memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1.00 di mesin pengeluaran automatik (ATM). Foto hiasan. Gambar kecil: J Solomon
PayNet termasuk BNM dan 11 bank yang lain digesa memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1.00 di mesin pengeluaran automatik (ATM). Foto hiasan. Gambar kecil: J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan 11 bank yang lain supaya memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di mesin pengeluaran automatik (ATM).

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, fi yang dikenakan kepada pelanggan membebankan keluarga berpendapatan rendah yang masih dalam proses pemulihan daripada kesan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

"Pada 3 April 2020, PayNet mengumumkan pengecualian fi RM1 kerana mengiktiraf beban kewangan dihadapi kebanyakan rakyat Malaysia. Bagaimanapun pada Februari 2022, fi ini dikenakan semula.

"NUBE percaya majoriti pelanggan yang terkesan dengan fi ini merupakan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk sejumlah besar ahli NUBE sedang bergelut memenuhi keperluan kekeluarga.

"Mengenakan fi ini terhadap individu yang kerap menggunakan ATM di luar rangkaian perbankan bukan saja tidak adil, malah menyukarkan lagi cabaran kewangan dihadapi mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, kos tambahan RM1 bagi setiap transaksi tanpa disedari akan semakin bertambah dengan pantas dan bakal menjejaskan sumber individu yang sudah terhad.

Ujarnya, pada awal Oktober lalu, NUBE menulis kepada BNM dan bank komersial yang lain untuk menasihatkan PayNet supaya menghapus atau mengecualikan bayaran tersebut.

"Pendirian NUBE merupakan tanggungjawab moral PayNet dan pemegang sahamnya, selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) lestari demi kepentingan rakyat dan negara.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun menerima maklum balas daripada BNM dan beberapa bank, tidak ada satu pun yang memberikan komitmen tegas bahawa fi RM1.00 itu akan diketepikan. Kami menggesa PayNet serta bank komersial lain supaya mementingkan empati dan tanggungjawab sosial dalam operasi mereka.

“Fi pengeluaran sebanyak RM1.00 itu secara tidak adil menjejaskan mereka yang paling tidak mampu. Semakin kita bergerak ke arah pemulihan ekonomi, kita tidak patut mengenakan beban tambahan terhadap masyarakat.

"Sangat penting untuk memupuk persekitaran perbankan inklusif yang menyokong semua rakyat Malaysia, khususnya mereka yang menghadapi kesukaran hidup," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!