Bersatu sedia buat persiapan hadapi PRN Sabah, PRU16 - Azmin
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia untuk membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ibu pejabat Bersatu akan menyusul dengan beberapa tindakan turun ke lapangan bagi membuat audit kekuatan jentera di semua bahagian.
“Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-7 melabuh tirai pada petang semalam (Ahad) dengan tekad untuk terus istiqamah dalam perjuangan dan bekerja kuat dalam satu pasukan untuk menjana kemenangan dalam PRU akan datang.
“Ucapan dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertemakan ‘Bersatu Peneraju Politik Abad ke-21’ mencetus keyakinan baharu dalam parti dan menggariskan secara jelas objektif, hala tuju serta nilai teras untuk berhadapan cabaran serta dinamika politik hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyatakan keyakinan bahawa gabungan berkenaan mampu merampas tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Selangor pada PRU16.
Menurutnya, ia berdasarkan sokongan rakyat kepada PN di ketiga-tiga negeri itu semakin bertambah.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Bersatu akan memperkukuh kerjasama dengan parti gabungan dalam PN, di samping memastikan agenda perjuangan Melayu dan Islam terus diberi keutamaan.
Jelasnya, dalam usaha memperkasakan rakyat, parti berkenaan juga bakal memperhebatkan program turun padang bagi mendengar suara akar umbi dan menangani isu setempat.
Menyentuh mengenai perbahasan perwakilan pada PAT ke-7, beliau memberitahu bahawa ia merupakan perdebatan yang begitu berkualiti kerana memberi fokus kepada pelbagai isu antaranya rakyat, penambahbaikan pengurusan, gerak kerja parti, geopolitik, ekonomi dan sebagainya.
“Perbahasan perwakilan turut mengupas isu dasar imigresen, kebanjiran individu bukan warganegara dan kehilangan sebahagian daripada mereka tanpa dapat dikesan, status kewarganegaraan yang diragui dan ancaman warga asing terhadap keselamatan, ekonomi, identiti nasional serta kestabilan negara.
“Perwakilan juga menyokong sepenuhnya usul Presiden Bersatu (Muhyiddin) agar kerajaan segera mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dan mencari jalan penyelesaian kepada isu impak dan ancaman warga asing terhadap negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!