PNB salur RM4 juta bantu mangsa banjir

PNB salur sumbangan RM4 juta menerusi kerjasama dengan beberapa agensi bantu mangsa banjir.
PNB salur sumbangan RM4 juta menerusi kerjasama dengan beberapa agensi bantu mangsa banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyalurkan bantuan banjir berjumlah RM4 juta menerusi kerjasama dengan beberapa agensi untuk membantu golongan yang terjejas.

Sumbangan disalurkan menerusi agensi pengurusan bencana seperti Yayasan Ikhlas, Mercy Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Malaysia Relief Agency (MRA).

PNB dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut akan digunakan untuk memberi bantuan segera dan memudahkan proses pemulihan jangka panjang bagi komuniti yang terjejas akibat banjir sekitar Kelantan (Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Bachok, Tumpat).

“Seterusnya di Terengganu (Besut, Dungun, Hulu Terengganu), Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar), Negeri Sembilan (Tampin) dan Selangor.

“Sumbangan yang diberi ditumpukan kepada agihan makanan seperti makanan sedia dimakan dan barang keperluan asas seperti khemah komuniti, selimut, tikar serta kit kebersihan diri,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Tambah PNB, peruntukan juga akan diberi kepada pemulihan seperti bekalan barangan kembali ke sekolah dan keperluan asas keluarga, membaiki rumah dan memulihkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta meningkatkan inisiatif air, sanitasi dan kebersihan (WASH) selepas bencana.

Sementara itu, PNB memberitahu bahawa sebanyak RM900,000 daripada jumlah peruntukan telah disalurkan dan digunakan untuk pembelian bot penyelamat serta barangan lain.

Antaranya, seperti pakaian sekolah, kasut dan beg untuk pelajar yang terjejas, beg kecemasan bencana dan program peningkatan komuniti.

Artikel Berkaitan:

“Selain menjangkakan cabaran yang bakal timbul akibat banjir akhir tahun ini, PNB akan terus membuat pendekatan proaktif dan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kami bagi memastikan bantuan berimpak untuk rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir.

“Pendekatan proaktif PNB mencerminkan komitmen sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, menunjukkan dedikasi untuk menyokong komuniti terjejas yang memerlukan, terutamanya semasa krisis,” ujar kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!