Kerajaan peruntuk lebih RM127 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh - Ahmad Zahid

Penduduk setempat terpaksa menggunakan sampan sebagai pengangkutan untuk berulang alik dari PPS ke rumah mereka selepas jalan utama terputus akibat banjir yang melanda daerah Hulu Terengganu. Foto Bernama
Penduduk setempat terpaksa menggunakan sampan sebagai pengangkutan untuk berulang alik dari PPS ke rumah mereka selepas jalan utama terputus akibat banjir yang melanda daerah Hulu Terengganu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM127.4 juta sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 318,642 pekebun kecil di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pekebun kecil terlibat akan menerima keseluruhan RM400 seorang, dibayar dua kali sebanyak RM200 masing-masing untuk November dan bulan ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bantuan berkenaan meliputi pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

"Bantuan itu antara lain bagi membantu pekebun kecil terjejas banjir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai serbaneka RisSMart24 serta melancarkan Syiling Peringatan Jubli Emas RISDA di UOA Business Park Glenmarie hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kemungkinan 20 hingga 25 peratus mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu akan mula pulang ke rumah secara berperingkat susulan keadaan banjir yang mula reda.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang menghuni kawasan rendah di Pahang dan Johor untuk bersiap siaga kerana kemungkinan luruan air dari Kelantan dan Pahang akan sampai di kedua-dua negeri terbabit, sekali gus menjejaskan penduduk di kawasan rendah.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata situasi banjir di seluruh negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di PPS mencatatkan trend penurunan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan koordinasi telah diatur antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia untuk mengenal pasti jalan yang terputus dan memerlukan pembinaan jambatan Bailey.

"Setakat ini kita dapat maklumat, lokasi jambatan itu (akan dibina) Kelantan, Terengganu dan Kedah namun pemantauan berterusan akan dilakukan di Pahang dan Johor," katanya.

Semalam Ahmad Zahid telah mengarahkan supaya gerak kerja bagi pembinaan jambatan Bailey di laluan yang terputus hubungan membabitkan kawasan terjejas akibat banjir di seluruh negara disegerakan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JKR, katanya mempunyai stok mencukupi untuk pembinaan jambatan Bailey di kawasan terjejas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!