Legenda bola sepak Perak antara mangsa banjir
IPOH - Kediaman legenda bola sepak Perak era 90-an, Raja Azlan Shah Raja So'ib antara yang terjejas akibat bencana banjir di Taman Arena Kepayang Putra di sini pada Ahad.
Kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu turut mengakibatkan bekas pemain kebangsaan itu bersama ahli keluarga terperangkap.
Ketika ditemui pemberita, Raja Azlan Shah, 56, berkata, beliau bersama keluarga meninggalkan rumah kira-kira jam 6 petang apabila bekalan elektrik ditutup oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Tidak sampai dua jam, paras air naik secara mendadak.
"Kami terperangkap di sini. Ada yang cuba keluar menggunakan kenderaan, tetapi tersangkut kerana air sudah naik tinggi," katanya.
Beliau yang sudah 25 tahun tinggal perumahan itu mengakui, bencana banjir kali ini adalah terburuk pernah dihadapi penduduk.
Katanya, sebelum ini, hanya berlaku banjir kilat dan paras air sekadar menutup laluan jalan raya dan tidak masuk ke rumah.
"Kami semua tidak menjangka banjir sebesar ini. Ini kali pertama yang serius begini," katanya.
Raja Azlan Shah yang kini merupakan Pengarah Teknikal Perak FC menganggarkan kerugian dialami mencecah ratusan ribu ringgit termasuk tiga kenderaannya yang rosak ditenggelami air.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan penduduk dan pasukan penyelamat terpaksa mengharungi air yang dipenuhi sampah dan berminyak bagi membantu membawa keluar mangsa yang terkandas banjir.
Banjir dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak lewat petang Sabtu dan merupakan kali pertama berlaku dalam tempoh 28 tahun kawasan itu didiami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!