SMK Bandar Tasik Kesuma tidak gentar reputasi SMK Bukit Kapar
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma lebih selesa di label pasukan bukan pilihan apabila berdepan SMK Bukit Kapar dalam perlawanan suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15).
Namun di sebalik itu pengendali skuad Bawah 15 tahun SMK Bandar Tasik Kesuma, Md Mahadir Masri menegaskan sekolah berpangkalan di Beranang, Hulu Langat berkenaan turut berazam menyambar slot separuh akhir.
“Alhamdulillah, syukur pasukan bola sepak B-15 SMK Bandar Tasik Kesuma berjaya meloloskan diri ke kelompok lapan terbaik buat kali pertama pada edisi kali ini.
“Kejayaan menjinakkan SMK Bandar Saujana Putra, juga merupakan hasil kerja keras serta latihan bersungguh-sungguh pemain-pemain serta komitmen barisan kejurulatihan sejak berakhirnya edisi 2023.
“Kami akan mengekalkan pendekatan sama apabila berdepan SMK Bukit Kapar, cuma sedikit perubahan taktikal akan dilakukan bagi memantapkan pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar juga lega apabila kesebelasan utama pasukan bebas kecederaan dan penggantungan pemain.
Sekolah yang berpangkalan di Beranang, Hulu Langat sebelum itu mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menjinakkan SMK Bandar Saujana Putra, 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua.
Mengulas mengenai lawan yang berpangkalan di Klang yang bakal ditentang Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 pada Selasa, Md Mahadir yang lebih dikenali ooach Tun berkata: “Semua tahu bahawa SMK Bukit Kapar antara pasukan pilihan dalam kejohanan ini.
“Namun bagi pasukan SMK Bandar Tasik Kesuma, kami akan menampilkan gaya permainan tersendiri berdasarkan persediaan rapi yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.”
Pada masa sama Md Mahadir mewakili barisan kejurulatihan dan pemain berterima kasih atas sokongan komuniti sekolah terutama pentadbir dan guru-guru SMK Bandar Tasik Kesuma, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa pelajar, barisan penaja yang sentiasa menyokong pasukan bola sepak sekolah berkenaan.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik SMK Bandar Tasik Kesuma adalah mara ke Pusingan 16 pada edisi 2018 dalam lima penyertaan Piala Datuk Mokhtar Dahari sebelum ini.
Kejohanan pembangunan B-15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15
SUKU AKHIR
SELASA (3 DISEMBER)
SMK Shah Alam lwn SMK Syed Mashor
(Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)
SMK Bandar Tasik Kesuma lwn SMK Bukit Kapar
(Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)
RABU (4 DISEMBER)
SMK Tinggi Kajang lwn SMK USJ 23
(Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)
Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah lwn SMK Jalan 3
(Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!