Harga sepinggan nasi di kedai masih sama

Agussuhendra menunjukkan pelbagai juadah yang terdapat di gerainya di Medan Selera Bukit Beruang, Melaka.
Agussuhendra menunjukkan pelbagai juadah yang terdapat di gerainya di Medan Selera Bukit Beruang, Melaka.
A
A
A

SABAK BERNAM - Peniaga makanan menggesa kerajaan membuat ketetapan berhubung pasaran harga beras putih import (BPI) supaya tidak berubah-ubah kerana ia memberi kesan kepada penjualan nasi.

Peniaga sarapan, Elmi Farah Syakila Osman, 33, berkata, peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan atau menurunkan harga sepinggan nasi.

Menurutnya, peniaga berdepan dilema setiap kali berlakunya kenaikan dan penurunan harga beras yang tidak stabil di pasaran.

“Setakat ini, saya sendiri tidak pasti berapa banyak penurunan harga beras import, kalau setakat RM1 atau RM2, ia masih dianggap mahal.

“Jika harga beras putih import turun melebihi RM5 bagi setiap lima kilogram (kg) secara tetap untuk tempoh jangka masa lama, mungkin harga nasi putih juga dapat diturunkan,” katanya yang menjual nasi putih pada harga RM3 sepinggan di Kampung Pasir Panjang, Sekinchan di sini.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan harga BPI di pintu gudang Bernas di Semenanjung diturunkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa pada Ahad.

Penurunan itu menyaksikan berlaku penurunan harga jualan BPI antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10kg di peringkat runcit.

Ruzana menunjukkan nasi putih yang dijual di kedainya di Sekinchan pada Isnin.
Ruzana menunjukkan nasi putih yang dijual di kedainya di Sekinchan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga kedai makanan di Sekinchan, Ruzana Awang Noh, 48, berkata, sejak sebelum kenaikan harga beras import lagi, dia menjual nasi putih pada harga RM2 sepinggan.

Katanya, meskipun sudah berniaga sejak 20 tahun lalu, namun tiada kenaikan mendadak membabitkan makanan ruji itu di kedainya.

“Buat masa ini kami tidak bercadang untuk menaikkan atau menurunkan harga nasi putih.

“Namun, jika berlaku kenaikan mendadak, kami juga perlu mengambil kira faktor kos dan operasi supaya tidak alami kerugian,” tambahnya.

No Image Caption

Sementara itu, di IPOH, PERAK, peniaga, Ellia Abd Malik, 50, menyambut baik penurunan harga BPI namun menyifatkan ia tidak memberi kesan begitu ketara berikutan harga barangan lain yang masih tinggi.

Katanya, lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh ini yang menyaksikan peningkatan harga sehingga dua kali ganda bagi beberapa jenis sayur-sayuran.

“Kenaikan harga sayur sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kos operasi perniagaan.

“Kita akui penurunan harga ini dapat meringankan beban peniaga, tetapi bagi saya kesannya bukan dalam tempoh terdekat. Lainlah kalau barang-barang keperluan lain turut turun harga,” ujarnya.

Peniaga kedai nasi kandar, Mohammad Mathar Ahmad Jalaluddin, 42, berkata, walaupun harga beras turun, buat masa ini tiada keperluan untuk menurunkan harga sepinggan nasi.

Jelasnya, kebanyakan peniaga hanya mengenakan harga antara RM2 ke RM3 bagi sepinggan nasi dan caj itu adalah memadai bagi mengimbangi kos ditanggung.

“Kalau di kedai saya, sepinggan nasi dijual pada harga RM2. Itulah harga yang ditetapkan sejak empat tahun lalu.

“Harga itu kekal sampai sekarang tidak kiralah harga barangan naik atau turun. Caj RM2 itu bagi saya tidak murah dan tidak mahal,” kongsinya.

Di MELAKA, pengusaha Restoran Serambi Emak di Kota Fesyen MITC, Ahmad Zul Ariff Ismai, 37, berkata, walaupun harga BPI turun namun peniaga sepertinya tidak dapat lari dengan beberapa kenaikan kos lain.

“Saya ambil pendekatan mengekalkan harga nasi sedia ada iaitu sekitar RM2 hingga RM2.50.

“Lagipun kita juga akan memulakan kadar gaji minimum pekerja baharu dari RM1,500 kepada RM1,700, jadi banyak kos lain perlu kita tanggung.

“Untuk penurunan harga sepinggan nasi apa-apa pun kita tunggu selepas bulan Februari depan,” katanya.

Pemilik Cafe Agus, Agussuhendra Asmawi, 39, turut mengakui harga RM2 bagi sepinggan nasi putih masih berpatutan biarpun sebelum ini terpaksa berdepan kenaikan harga beras 10kg dari RM25 kepada RM40.

Menurutnya, lagipun penurunan itu tidak berlaku pada kos barangan lain sedangkan peniaga makanan ketika ini berjuang dan berjimat cermat untuk menyelamatkan perniagaan masing-masing daripada terus gulung tikar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!