Izz Naqiuddin tekad akhiri kemarau gelaran

Izz Naqiuddin memasang impian besar untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All Stars Bawah 22 Tahun (B-22) 2024 di Petaling Jaya minggu ini. Foto Agensi
Izz Naqiuddin memasang impian besar untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All Stars Bawah 22 Tahun (B-22) 2024 di Petaling Jaya minggu ini. Foto Agensi
A
A
A

ATLET boling remaja negara, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin memasang impian besar untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All Stars Bawah 22 Tahun (B-22) 2024 di Petaling Jaya minggu ini.

Beliau juga mengakui tidak berasa gemuruh untuk berdepan pesaing hebat lain kerana sudah menyertai kejohanan tersebut sejak lapan tahun lalu ketika berusia 12 tahun.

“Saya tak gementar kerana setiap tahun kejohanan berlangsung di sini dan saya sudah bermain sejak berusia 12 tahun lagi.

“Pencapaian terbaik saya ketika menduduki tempat ketiga pada tahun 2022. Jadi tahun ini saya sasar untuk menang gelaran All-Stars.

"Ini tahun kedua terakhir untuk bermain dalam kategori remaja kerana saya kini berusia 20 tahun,” katanya.

Kejohanan edisi ke-24 dijadualkan berlangsung di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid bermula Rabu hingga 15 Disember itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM200,000.

Izz juga mengakui cabaran besar menantinya kerana ramai pemain hebat dari pelbagai negara akan berentap untuk merebut kejuaraan dengan melihat atlet Korea Selatan antara pencabar utama.

Beliau bagaimanapun enggan terlalu memikirkan tentangan pemain lawan sebaliknya mahu fokus kepada diri sendiri dengan memantapkan lagi corak permainan selain memperkuatkan lagi mental.

Artikel Berkaitan:

“Saya kini berlatih untuk memperkemaskan permainan sendiri kerana saya mahu bermain dengan konsisten. Mempersiapkan fizikal dan kekuatan mental,” katanya.

Sebagai rekod, Izz ketika ini berada pada prestasi terbaik selepas menjuarai Kejohanan Sonic International Classic di Singapura baru-baru ini.

Kejohanan dengan kerjasama Milo Malaysia itu menyaksikan penyertaan sebanyak 16 negara termasuk Australia, Brunei, Kemboja, China, Chinese Taipei, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!