Iqbal batal 10 program demi misi banjir
KOTA BHARU - Usahawan dan pempengaruh dari Kelantan, Ahmad Iqbal Zulkefli antara individu yang turut berkongsi kesukaran mangsa banjir selepas turun sendiri di kawasan yang ditenggelami banjir.
Menurut Ahmad Iqbal yang lebih dikenali sebagai Iqbal, terkejut dengan situasi itu, beliau terus membeli tiket kapal terbang dan tiba pada Subuh, Sabtu lepas.
Iqbal kemudian bergegas ke bandar Kota Bharu tanpa pulang ke rumah untuk melihat situasi di kawasan berkenaan.
“Sebelum menaiki kapal terbang, saya sudah membuat persediaan dan mendapatkan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. Ketika membantu, kepenatan pun hilang,” katanya.
Iqbal memberitahu, pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang membantu mangsa banjir ialah pada Sabtu malam apabila botnya terkandas di Sungai Lubok Jong yang deras.
“Ketika itu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu betapa cemasnya kami berikutan arus laju dan sungai bertambah dalam,” katanya.
Dalam tempoh empat hari misi membantu, Iqbal membatalkan 10 program yang sudah dirancang bersama syarikat pengiklanan dan korporat.
Iqbal yang baru sahaja pulang ke Kuala Lumpur mengakui sedih kerana meninggalkan mangsa yang masih memerlukan bantuan dan sokongan.
“Saya akan pulang semula ke Kelantan dan berhasrat mengagihkan RM300,000 sebagai sumbangan kepada mereka yang sangat memerlukan untuk membaiki rumah bergantung kepada keadaan kerosakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!