Sampai bila nak tanggung rugi akibat banjir

Kira-kira 30 ahli qariah Masjid Pasir Simpul, Hulu Terengganu berganding bahu membanting tulang membersihkan pelbagai peralatan masjid kampung itu seperti karpet yang turut terkesan banjir. Foto Bernama
Kira-kira 30 ahli qariah Masjid Pasir Simpul, Hulu Terengganu berganding bahu membanting tulang membersihkan pelbagai peralatan masjid kampung itu seperti karpet yang turut terkesan banjir. Foto Bernama
A
A
A

BENCANA banjir di negara ini seolah-olah menjadi acara tahunan terutamanya ketika musim tengkujuh seperti yang sedang dialami beberapa negeri ketika ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023 memaklumkan negara kerugian RM755.4 juta akibat banjir pada tahun 2023 atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Nilai kerugian tersebut meliputi kerosakan tempat kediaman sebanyak RM168.3 juta, kenderaan (RM22.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta) dan pembuatan (RM10.3 juta).

Selain itu ia turut melibatkan kerugian industri pertanian sebanyak RM120.6 juta serta aset awam dan infrastruktur (RM380.7 juta).

Menyentuh anggaran kerugian akibat banjir pada tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menjangkakan ia boleh mencecah hampir RM1 bilion.

Sekiranya mengambil kira kos ditanggung kerajaan untuk menggerakkan anggota dan aset agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, kos kerugian ini tentunya menjadi lebih tinggi.

Jumlah itu adalah satu angka yang sangat besar dan merupakan satu kerugian jika tiada langkah lestari jangka panjang diambil kerajaan Persekutuan untuk mengurus bencana banjir.

Mungkin projek seumpama Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang objektif utama pembinaannya adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur boleh diadaptasikan di negeri yang sering dilanda banjir terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Limpahan air di sungai-sungai tertentu seperti Sungai Kelantan yang kerap terjadi terutamanya semasa pertembungan hujan lebat dan air laut pasang boleh diredakan sekiranya air sungai ini dapat disalurkan ke terowong terbabit seterusnya ke kolam takungan banjir.

Belanda menggunakan konsep room for the river untuk menangani masalah banjir di negara yang terletak di bawah paras laut itu dengan memberi lebih ruang kepada sungai untuk mencegah banjir.

Pendekatan serupa mungkin boleh dilakukan di negeri-negeri yang sering dilanda banjir.

Biarpun kos membina projek mega sebegini mungkin mencecah berpuluh bilion ringgit, namun dalam jangka panjang ia lebih rendah daripada keseluruhan jumlah kerugian yang ditanggung saban tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!