Bawa budaya kerja utamakan ilmu, tolak penyelewengan dan penindasan

Graduan mempunyai peranan tanggungjawab sosial yang penting dalam pembentukan pemikiran dan budaya masyarakat di negara ini. Foto hiasan. Gambar kecil: Fatin Nur Majdina
Graduan mempunyai peranan tanggungjawab sosial yang penting dalam pembentukan pemikiran dan budaya masyarakat di negara ini. Foto hiasan. Gambar kecil: Fatin Nur Majdina
A
A
A

SHAH ALAM - Graduan yang akan menjawat pelbagai jawatan dalam pekerjaan perlu menjadi ejen perubahan dengan membawa budaya kerja baharu yang mengutamakan ilmu dan menolak sebarang bentuk penyelewengan serta penindasan.

Naib Presiden Bahagian Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Fatin Nur Majdina Nordin berkata, budaya tersebut juga perlu menekankan sifat integriti, amanah, ihsan dan itqan iaitu tekun dalam beramal.

Ujar beliau, graduan perlu sedar bahawa mereka mempunyai peranan tanggungjawab sosial yang penting dalam pembentukan pemikiran dan budaya masyarakat di negara ini.

“Ia kerana mereka tergolong dalam golongan yang mempunyai ilmu. Mereka punya tanggungjawab atau amanah untuk menyebarkan ilmu dan kebaikan, termasuk mencegah sebarang bentuk kerosakan, penindasan, salah guna kuasa, penyelewengan serta rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Media melaporkan pada Sabtu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, bahawa rasuah, ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah ibarat barah yang sedang merosakkan anatomi negara serta mengakibatkan rakyat menanggung beban berat.

Baginda bertitah, untuk memurnikan kecelaruan yang dihadapi, sistem pentadbiran, tadbir urus dan tatakelola berasaskan nilai, prinsip serta amanah perlu dijadikan teras dalam membentuk budaya kerja.

Menurut Fatin Nur Majdina, titah baginda boleh dijadikan panduan kehidupan khususnya kepada graduan yang menamatkan pengajian dan akan memasuki fasa bekerja.

Tambahnya, golongan tersebut harus sedar bahawa rasuah adalah salah dan akan menyebabkan keruntuhan kepada negara jika dibiarkan berleluasa.

Artikel Berkaitan:

“Menjadi tanggungjawab setiap individu menolak sebarang bentuk rasuah dan dalam masa yang sama membina budaya kerja berintegriti sebagai pilihan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!