Azrai Aizad tak goyang lawan kelab Australia
PENJARING berbisa Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal tidak gentar berdepan kelab Australia, Territory Stinger yang akan membuat debut saingan berprestij tersebut pada musim depan.
Penyerang Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu juga tidak mahu memikirkan skuad lawan, sebaliknya ingin memberi fokus kepada pasukan sendiri dalam misi mempertahankan kejuaraan MHL.
“Saya tidak pernah jumpa Territory Stinger sebelum ini dan tidak kenal pemain mereka. Namun saya percaya TNB ada ramai pemain yang bagus.
“Fokus saya dan pasukan adalah untuk membantu TNB mencapai sasaran (pertahan kejuaraan). Kami harap dapat melakukannya seperti musim lalu,” katanya.
Saingan MHL membuka tirai pada 4 Januari hingga 22 Februari 2025.
Sebagai rekod Azrai Aizad sudah meledak 32 gol daripada 80 penampilan bersama skuad hoki negara di pentas antarabangsa.
Beliau ditemui media selepas majlis memperkenalkan duta bagi Mizuno di Cheras, Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, pengeluar barangan sukan Jepun tersebut turut mengumumkan rakan sepasukan Azrai Aizad, Shello Silverous bersama sembilan atlet lain sebagai duta.
Mereka adalah Ahmad Luth Hamizan (olahraga), Nicholas Fung (golf), Shaqeem Eiman Shahyar (badminton) serta pemain bola sepak kebangsaan iaitu Daniel Ting, Dominic Tan, Afiq Fazail, Feroz Baharudin, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Azam Azmi Murad.
Sementara itu, Pengurus Mizuno Malaysia, Darren Wong berkata, kerjasama dengan atlet-atlet kebangsaan dibuat menerusi inisiatif 'The Next Chapter' iaitu simbol komitmen syarikat terhadap pembangunan sukan di Malaysia.
“Pemahaman mendalam kami terhadap keperluan atlet, digabungkan dengan inovasi global Mizuno memberikan kami kelebihan unik untuk meningkatkan prestasi sukan di seluruh negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!