Buka hati nikah suami beza usia 33 tahun
SHAH ALAM - Sifat penyayang dan pandai mendidik anak dalam agama antara faktor seorang ibu tunggal kepada tiga anak terbuka hati dan menerima suaminya yang juga pesara kerajaan walaupun jarak usia antara mereka 33 tahun.
Norain Azlyin Abd Rasad, 28, berkahwin dengan Awang Zainal Abidin Awang Damit Yahya, 61, pada 20 Oktober lalu.
Wanita kelahiran Kudat, Sabah itu berkata, dia mengenali Awang Zainal Abidin menerusi bapa saudaranya dalam satu pertemuan di restoran pada September lalu.
“Mula-mula jumpa, memang tidak ada apa-apa perasaan tetapi bapa saudara saya beritahu supaya berkenalan dahulu. Ketika itu, suami (Awang Zainal Abidin) pun tidak ada paksaan.
“Jadi dari situ, kita mula berhubung dan berkenalan dengan lebih rapat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar Norain, dia tidak menyangka akan berkahwin dalam tahun ini memandangkan baru sahaja berpisah dengan bekas suami tujuh bulan lalu.
Menurutnya, sikap Awang Zainal Abidin yang serius dalam menghalalkan hubungan turut mendorong kepada perkahwinan baharu mereka.
“Saya nampak kesungguhan suami apabila dia berani berjumpa dengan orang tua saya selepas tiga hari berkenalan.
“Dari segi sifat pula, dia lemah-lembut, penyayang dengan kanak-kanak dan selalu sependapat dengan saya.
“Malah, suami sering mengajak anak untuk solat berjemaah. Itu antara sifat yang membuat lebih saya tertarik dan selesa dengannya,” ujarnya.
Tambah Norain, keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan bersama suaminya.
“Suami juga mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu tetapi alhamdulillah mereka semua menerima saya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!